Cetak       Kongsi


Akses kepada pembiayaan bukan masalah utama perumahan mampu milik

No Ruj : 07/17/06 18 Jul 2017 Embargo : Untuk Siaran Segera    

Kenyataan akhbar ini merujuk laporan media mengenai seruan untuk mengkaji semula kriteria pinjaman perumahan bagi bakal pembeli rumah mampu milik. Komen yang dibuat oleh sesetengah pihak telah menimbulkan kekeliruan dan tidak berdasarkan fakta dan maklumat yang sebenar. Jika isu perumahan mampu milik ini hendak diselesaikan, semua pihak perlu jelas mengenai punca utama isu tersebut dan berusaha dengan bersungguh-sungguh untuk membantu mereka yang terbabit.

Pembeli rumah yang layak akan terus mendapat akses kepada pembiayaan. Dalam tempoh lima bulan pertama tahun 2017, sebanyak RM40 bilion pinjaman perumahan telah diluluskan kepada lebih daripada 152,000 peminjam. Tiga perempat daripada peminjam tersebut ialah pembeli rumah kali pertama. Kadar kelulusan pinjaman perumahan juga stabil pada 74%.

Bank juga telah memperkenalkan solusi pembiayaan yang lebih fleksibel untuk meningkatkan kemampuan membayar hutang, seperti yang ditawarkan untuk perumahan PRIMA. Pinjaman perumahan terkumpul terus mengatasi pertumbuhan pinjaman keseluruhan, dengan kadar tahunan meningkat sebanyak 8.6% kepada RM493 bilion pada akhir Mei 2017.

Garis panduan pembiayaan yang bertanggungjawab diperkenalkan bagi melindungi kepentingan peminjam dengan memastikan peminjam berupaya melunaskan obligasi kewangan mereka. Institusi-institusi kewangan akan menawarkan pembiayaan kepada semua peminjam yang layak dan hanya akan menolak permohonan pinjaman oleh pemohon yang jelas tidak mampu untuk menanggung lebih banyak hutang dan mempunyai sejarah pembayaran kredit yang buruk. Perlu diingatkan bahawa perniagaan teras institusi perbankan adalah untuk menyediakan pembiayaan.

Berdasarkan perbincangan dengan institusi perbankan, kebanyakan pinjaman perumahan yang tidak diluluskan oleh institusi perbankan melibatkan peminjam yang mempunyai paras obligasi hutang sedia ada yang tinggi, yang seterusnya akan mendedahkan mereka kepada risiko kewangan yang teruk jika dibebankan lagi dengan hutang. Bagi peminjam seperti ini, risiko perampasan rumah adalah sangat tinggi dan mereka berkemungkinan besar menghadapi masalah kewangan sekiranya berlaku kejutan terhadap pendapatan (income shocks) atau perlu menanggung perbelanjaan perubatan yang tinggi.

Penyelesaian terhadap isu rumah mampu milik perlu meliputi usaha menangani kekurangan bekalan rumah mampu milik dan harga rumah yang tinggi berbanding dengan pendapatan. Berdasarkan data Pusat Maklumat Harta Tanah Negara (National Property Information Centre, NAPIC), kurang 30% daripada rumah baharu yang dilancarkan pada tahun 2015-2016 merupakan rumah berharga kurang daripada RM250,000, berbanding dengan 70% semasa tempoh tahun 2008-2009. Kemampuan untuk  memiliki rumah tidak banyak berubah seperti ditunjukkan oleh purata harga rumah kebangsaan yang kekal pada 4.4 kali pendapatan median (julat bagi tahap mampu milik ialah 3.0 dan kurang), dengan beberapa negeri utama dan pusat bandar mencatat penurunan dalam tahap mampu milik. Oleh itu, pemaju perumahan bersama-sama pihak berkuasa dan pihak berkepentingan yang berkenaan perlu meningkatkan usaha untuk mengurangkan kos dan menambah bekalan rumah dengan segera. 

Untuk keterangan yang lebih lengkap mengenai isu akses kepada pinjaman perumahan, sila rujuk artikel Bank Negara Malaysia bertajuk “Menyangkal Mitos: Langkah-langkah Berkaitan Pembiayaan Harta Tanah Menyebabkan Kadar Penolakan Pinjaman Lebih Tinggi” di url berikut:
http://www.bnm.gov.my/files/publication/qb/2017/Q1/bm_p5_ba1.pdf 

Bank Negara Malaysia
18 Jul 2017

© Bank Negara Malaysia, 2017. All rights reserved.