Cetak       Kongsi


Pemakluman Terperinci Rizab Antarabangsa pada akhir bulan Jun 2017

No Ruj : 07/17/12 31 Jul 2017 Embargo : Tidak boleh disiarkan atau dicetak sebelum jam1200 pada hari Isnin 31 Julai 2017

Mengikut format Special Data Dissemination Standard (SDDS) Tabung Kewangan Antarabangsa (International Monetary Fund, IMF), butiran terperinci rizab antarabangsa memberikan maklumat tentang saiz, jenis dan kebolehgunaan rizab, dan aset mata wang asing lain, serta aliran masuk dan keluar pertukaran asing yang telah dianggarkan terlebih dahulu dan di luar jangkaan bagi Kerajaan Persekutuan dan Bank Negara Malaysia untuk tempoh 12 bulan akan datang.

Butiran terperinci rizab antarabangsa berdasarkan format SDDS terkandung dalam Jadual I, II, III dan IV. Seperti yang ditunjukkan dalam Jadual I, aset rizab rasmi berjumlah USD98,922.3 juta, manakala aset mata wang asing lain berjumlah USD910.1 juta pada akhir bulan Jun 2017. Seperti yang ditunjukkan dalam Jadual II, bagi tempoh 12 bulan akan datang, aliran keluar jangka pendek bagi pinjaman dalam mata wang asing disebabkan oleh pembayaran balik berjadual peminjaman luar negeri oleh Kerajaan diunjurkan sebanyak USD268.9 juta. Sementara itu, jumlah kedudukan hadapan pendek adalah sebanyak USD16,556.4 juta pada akhir bulan Jun 2017, mencerminkan pengurusan mudah tunai ringgit dalam sistem kewangan. Sejajar dengan amalan yang diterima pakai sejak bulan April 2006, data ini tidak termasuk anggaran aliran masuk mata wang asing daripada pendapatan faedah dan pengeluaran pinjaman projek sebanyak USD2,347.7 juta bagi tempoh 12 bulan akan datang. Seperti yang ditunjukkan dalam Jadual III, satu-satunya salur keluar bersih jangka pendek aset mata wang asing luar jangka ialah jaminan Kerajaan bagi hutang luar negeri yang akan matang dalam tempoh satu tahun, berjumlah USD187.4 juta. Rizab antarabangsa Malaysia tidak mempunyai pinjaman dalam mata wang asing yang berserta opsyen, kemudahan kredit belum digunakan dan kemudahan kredit tanpa syarat yang diberikan oleh atau kepada bank pusat lain, organisasi antarabangsa, bank dan institusi kewangan lain. Bank Negara Malaysia juga tidak terbabit dalam urus niaga opsyen mata wang asing terhadap ringgit.

Secara keseluruhan, butiran terperinci rizab antarabangsa mengikut format   SDDS IMF menunjukkan rizab Malaysia pada akhir bulan Jun 2017 tetap boleh guna.

 

Table I: Official reserves assets and other foreign currency assets
Table II: Predetermined short-term net drains on foreign currency assets
Table III: Contingent short-term net drains on foreign currency assets
Table IV: Memo Items

Bank Negara Malaysia
31 Jul 2017

© Bank Negara Malaysia, 2017. All rights reserved.