Cetak       Kongsi


Dialog dengan Komuniti Perniagaan di Sabah

No Ruj : 08/17/04 04 Aug 2017 Embargo : Untuk Siaran Segera    

Pada 4 Ogos 2017, Bank Negara Malaysia (BNM) telah mengadakan dialog dengan wakil-wakil utama daripada institusi kewangan, kerajaan negeri dan masyarakat perniagaan tempatan di Kota Kinabalu. Dialog yang bertemakan, "Mengeratkan Hubungan, Melakarkan Masa Hadapan", dipengerusikan oleh Gabenor Bank Negara Malaysia, Datuk Muhammad Ibrahim. Dialog ini bertujuan untuk menyediakan platform bagi peserta industri bertukar-tukar pandangan dan membincangkan isu-isu semasa dalam ekonomi dan sistem kewangan di Sabah.

Semasa Dialog tersebut, wakil daripada Persatuan Bank-bank dalam Malaysia, Persatuan Institusi Perbankan Islam Malaysia dan industri insurans memberikan taklimat mengenai sumbangan industri kewangan kepada ekonomi Sabah dan perancangan masing-masing pada masa hadapan. Beberapa isu dibangkitkan oleh komuniti perniagaan Sabah termasuk akses kepada pembiayaan, sumber pembiayaan alternatif bagi sektor pertumbuhan baharu dan keperluan mendesak untuk meningkatkan sambungan jalur lebar. Isu akses kepada pembiayaan untuk perumahan mampu milik juga dibincangkan secara mendalam.

Industri perbankan dan insurans mengulangi komitmen mereka untuk melibatkan komuniti perniagaan Sabah dalam isu-isu ini. Komuniti perniagaan digalakkan untuk mengakses perkhidmatan yang disediakan oleh Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK), Skim Penyelesaian Pinjaman Kecil (SDRS) Credit Guarantee Corporation (CGC) dan Jawatankuasa Penyusunan Semula Hutang Korporat (CDRC) dalam pembiayaan.

Bagi mengukuhkan lagi rangkuman kewangan di Sabah, BNM akan meningkatkan kerjasama dengan pihak berkuasa negeri yang berkaitan untuk menambah baik infrastruktur kewangan, khususnya rangkaian ATM, perbankan internet dan perbankan ejen. Pejabat Wilayah BNM di Sabah akan terus memudahkan dan menyalurkan aduan pengguna dan bantuan penyelesaian selain memberikan khidmat nasihat berhubung dengan hal-hal berkaitan perbankan dan insurans. Di samping itu, program pendidikan kewangan kepada masyarakat setempat di Sabah juga akan dipergiat. 

Dialog ini telah bersetuju untuk menubuhkan Kumpulan Kerja yang terdiri daripada komuniti perniagaan, institusi kewangan dan kerajaan negeri dengan BNM sebagai penyelaras untuk membincangkan dan memberikan cadangan berhubung dengan isu penting berkaitan perkhidmatan kewangan yang dihadapi oleh masyarakat. Dialog turut bersetuju agar forum bagi pengurus risiko institusi kewangan diadakan dalam tempoh satu tahun supaya bank-bank dapat memberikan pemahaman yang lebih mendalam mengenai keadaan perniagaan di  Sabah.

BNM akan terus mengadakan dialog seperti ini pada masa hadapan bagi menghubungkan sektor kewangan dan masyarakat setempat sebagai sebahagian daripada inisiatif pembangunan negara.

 

Bank Negara Malaysia
04 Aug 2017

© Bank Negara Malaysia, 2017. All rights reserved.