Cetak       Kongsi


Tindakan Penguatkuasaan Terhadap Premis Perniagaan Perkhidmatan Wang Haram

No Ruj : 08/17/13 23 Aug 2017 Embargo : Untuk Siaran Segera    

Bank Negara Malaysia telah menjalankan operasi serbuan di lima premis yang terletak di Perak, Pahang dan Negeri Sembilan pada 17 Ogos 2017. Premis-premis ini diserbu kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Perniagaan Perkhidmatan Wang 2011 (MSBA) dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFA). Serbuan dilakukan ke atas syarikat DJ Travel & Tour Sdn. Bhd. di Lumut dan Sitiawan, Fathima Warisan Enterprise di Giant Supermarket Senawang, dan Habeeb Textiles di Kuantan dan Muadzam Shah. Semua dokumen berkaitan siasatan, wang tunai dan mata wang asing dirampas semasa operasi. Dalam operasi serbuan yang sama, empat pendatang tanpa izin yang terlibat menjaga premis tersebut telah ditahan oleh Jabatan Imigresen Malaysia.

Mana-mana orang atau syarikat yang menjalankan aktiviti perniagaan perkhidmatan wang, seperti aktiviti pengurupan dan pengiriman wang tanpa lesen, melakukan suatu kesalahan di bawah seksyen 4(1) MSBA dan boleh dikenakan denda tidak melebihi RM5 juta atau penjara tidak melebihi 10 tahun atau kedua-duanya sekali. Bagi kesalahan di bawah seksyen 4(1) AMLATFA, individu yang disabitkan kesalahan boleh dipenjarakan tidak melebihi 15 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali jumlah atau nilai perolehan aktiviti atau instrumen yang menyalahi undang-undang pada masa kesalahan dilakukan atau RM5 juta, yang mana lebih tinggi.

Orang ramai dinasihati untuk tidak membuat apa-apa urusan pengurupan atau pengiriman wang dengan pengendali perniagaan perkhidmatan wang haram. Mana-mana individu yang berurusan dengan pengendali perniagaan perkhidmatan wang haram adalah melakukannya dengan risiko akan mengalami kerugian kewangan akibat dana dilarikan oleh pesalah atau aset dirampas oleh pihak berkuasa. Tindakan penguatkuasaan juga boleh dikenakan ke atas mereka oleh pihak berkuasa yang berkenaan. Orang ramai juga dinasihati untuk hanya berurusan dengan pengendali perniagaan perkhidmatan wang berlesen, yang boleh dikenal pasti melalui logo rasmi Persatuan Perniagaan Perkhidmatan Wang Malaysia (Malaysian Association of Money Services Business, MAMSB) yang dipamerkan di kaunter (sila rujuk logo MAMSB yang dilampirkan). Senarai pengendali perniagaan perkhidmatan wang berlesen juga disediakan di laman sesawang Bank Negara Malaysia (www.bnm.gov.my).

Operasi serbuan ini merupakan salah satu langkah berterusan Bank Negara Malaysia untuk membanteras kegiatan pertukaran wang dan kiriman wang haram di negara kita.

Bank Negara Malaysia
23 Aug 2017

© Bank Negara Malaysia, 2017. All rights reserved.