Cetak       Kongsi


Jualan Duit Syiling Peringatan Bersempena dengan Sukan Asia Tenggara ke-29 dan Sukan Para ASEAN ke-9 (tempahan melalui e-mel atau di pejabat-pejabat Bank Negara Malaysia)

No Ruj : 08/17/15 25 Aug 2017 Embargo : Untuk Siaran Segera    

Pada 16 Ogos 2017, Bank Negara Malaysia telah mengeluarkan duit syiling peringatan bersempena dengan Sukan Asia Tenggara (SEA) ke-29 dan Sukan Para ASEAN ke-9. Duit syiling peringatan ini terdiri daripada duit syiling perak berwarna pruf, duit syiling peringatan emas Nordic serta set duit syiling dua dalam satu. Butiran lanjut mengenai duit syiling peringatan ini terdapat dalam Lampiran I.

Berdasarkan maklum balas orang ramai dan bagi memastikan peluang yang sama untuk semua orang membeli duit syiling edisi terhad ini, pembelian akan dihadkan (satu set dua dalam satu, satu duit syiling perak dan tiga duit syiling emas Nordic bagi setiap pembeli). Untuk memudahkan pembelian duit syiling peringatan ini, orang ramai boleh membuat tempahan melalui e-mel kepada commorder@bnm.gov.my atau melalui borang tempahan yang boleh didapati di Muzium dan Galeri Seni Bank Negara Malaysia dan pejabat-pejabat Bank Negara Malaysia di Kuala Lumpur, Pulau Pinang, Johor Bahru, Kota Kinabalu, Kuching dan Kuala Terengganu. Tempahan boleh dibuat mulai 29 Ogos 2017 hingga pukul 1.00 tengah hari, 5 September 2017. Butiran lanjut mengenai proses tempahan terkandung dalam Lampiran 2.

Pengumuman Keputusan Tempahan
Sekiranya duit syiling ini mendapat tempahan yang melebihi kuantiti jualannya, tempahan akan melalui proses pengundian. Keputusan tempahan atau pengundian akan diumumkan pada 8 September 2017 di www.bnm.gov.my dan di Muzium dan Galeri Seni Bank Negara Malaysia serta pejabat Bank Negara Malaysia di seluruh negara.

Pembayaran dan Pengambilan
Pembeli yang berjaya boleh membayar dan mengambil duit syiling mereka mulai 8 hingga 12 September 2017 di Muzium dan Galeri Seni Bank Negara Malaysia (setiap hari termasuk hujung minggu dan cuti umum), dan di pejabat-pejabat Bank Negara Malaysia di Pulau Pinang, Johor Bahru, Kota Kinabalu, Kuching dan Kuala Terengganu (hari bekerja biasa). Pembeli perlu hadir sendiri dan menunjukkan bukti pengenalan diri yang sah (cth. MyKad/Pasport) untuk mengambil duit syiling tersebut .

Untuk maklumat lanjut, sila hubungi 1-300-88-5465 (1-300-88-LINK) atau bnmtelelink@bnm.gov.my.

Bagi Notis Perlindungan Data Peribadi, sila rujuk Lampiran 3.

Bank Negara Malaysia
25 Aug 2017

© Bank Negara Malaysia, 2017. All rights reserved.