Cetak       Kongsi


Codeathon Antarabangsa Unit Perisikan Kewangan 2017

No Ruj : 08/17/16 28 Aug 2017 Embargo : Untuk Siaran Segera    

Bank Negara Malaysia dan Australian Transaction Reports and Analysis Centre (AUSTRAC), yang merupakan anggota Forum International Community of Experts (ICE), buat kali pertamanya akan menganjurkan Codeathon Antarabangsa Unit Perisikan Kewangan 2017 (Codeathon). Pertandingan pengekodan (coding) ini akan diadakan dari 18 hingga 19 November 2017 di Kuala Lumpur.

Codeathon ini dianjurkan bersempena dengan Persidangan Pembanterasan Pembiayaan Keganasan (Counter-Terrorism Financing, CTF) Ke-3 yang akan berlangsung dari 20 hingga 23 November 2017. Pertandingan ini merupakan sebahagian daripada usaha berterusan untuk menyepadukan dan memanfaatkan teknologi maklumat secara maksimum dalam usaha membanteras pembiayaan keganasan. Codeathon menyediakan platform bagi komuniti perisikan kewangan, agensi penguat kuasa undang-undang dan pengawal selia untuk berbincang dan berinteraksi dengan pakar dalam bidang teknologi dari dalam dan luar sektor ini bagi mendapatkan pemahaman lebih mendalam mengenai teknologi, teknik dan idea baharu bagi menangani cabaran berkaitan dengan pembanterasan pembiayaan keganasan.

Acara ini mengalu-alukan penyertaan daripada komuniti Unit Perisikan Kewangan (Financial Intelligence Units, FIU), Teknologi Kewangan (Financial Technology, FinTech) dan Teknologi Pengawalseliaan (Regulatory Technology, RegTech), institusi kewangan serta individu (pembangun perisian, pengaturcara, penganalisis, pereka, jurutera, pelajar atau penggemar komputer). Codeathon ini terbuka kepada semua individu daripada negara peserta Persidangan CTF. Peserta diberikan masa selama 32 jam untuk menyelesaikan cabaran-cabaran yang akan diberitahu pada hari pertama Codeathon. Hasil ciptaan daripada pertandingan pengekodan ini yang akan dibentangkan dalam pelbagai bentuk, termasuk aplikasi secara langsung (live applications) atau prototaip, akan menjadi perintis dalam perumusan kaedah penyelesaian digital baharu lagi inovatif untuk membendung kegiatan pembiayaan keganasan. 

Para peserta juga berpeluang memenangi beberapa kategori hadiah. Pemenang dan hasil ciptaan daripada pertandingan pengekodan ini akan diumumkan pada Forum Inovasi Persidangan CTF. Mereka yang berminat dipelawa untuk menyertai acara ini. Untuk maklumat lanjut, sila rujuk laman sesawang Persidangan CTF 2017 di http://ctf.bnm.gov.my/codeathon/.

Bank Negara Malaysia
28 Aug 2017

© Bank Negara Malaysia, 2017. All rights reserved.