Cetak       Kongsi


Pernyataan Dasar Monetari

No Ruj : 09/17/04 07 Sep 2017 Embargo : Tidak boleh disiarkan atau dicetak sebelum jam1500 pada hari Khamis 07 September 2017

Mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) Bank Negara Malaysia hari ini membuat keputusan untuk mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada 3.00 peratus.

Ekonomi global semakin kukuh dengan pertumbuhan yang lebih mantap dan segerak dengan kebanyakan negara. Perdagangan global telah meningkat dengan ketara. Penggunaan dan pelaburan di negara-negara maju terus bertambah baik. Pertumbuhan di rantau Asia telah didorong oleh aktiviti dalam negeri yang mampan dan permintaan luar negeri yang kukuh. Perkembangan ini menunjukkan momentum pertumbuhan global yang berterusan. Walau bagaimanapun, prospek ini mungkin dipengaruhi oleh perkembangan politik dan dasar di negara ekonomi maju serta risiko daripada perkembangan geopolitik.

Malaysia telah mencatat pertumbuhan ekonomi yang lebih kukuh pada suku kedua tahun 2017, hasil dorongan daripada aktiviti ekonomi dalam negeri dan eksport yang lebih mantap. Prospek pertumbuhan dijangka disokong oleh jangkaan pertumbuhan global yang lebih positif dan kesan daripada prestasi sektor luaran yang lebih baik kepada ekonomi negara. Permintaan dalam negeri akan terus menjadi pemacu utama pertumbuhan. Keadaan ini disokong oleh peningkatan pendapatan dan keadaan pasaran pekerja yang lebih baik secara keseluruhan, projek infrastruktur baharu dan sedang dilaksanakan serta pelaburan modal yang berterusan oleh firma-firma dalam sektor perkilangan dan perkhidmatan. Pertumbuhan ekonomi negara dijangka lebih kukuh bagi keseluruhan tahun 2017.

Kadar inflasi secara keseluruhannya terus sederhana dan menurun kepada 3.2% pada bulan Julai. Penurunan ini disebabkan terutamanya oleh harga bahan api domestik yang lebih rendah. Melangkah ke hadapan, kadar inflasi keseluruhan diunjurkan menurun berikutan jangkaan bahawa kesan daripada faktor kos global semakin berkurang. Inflasi asas, seperti yang diukur oleh inflasi teras, dijangka terus terkawal walaupun dalam keadaan permintaan dalam negeri yang masih kukuh.

Pasaran kewangan domestik terus berdaya tahan. Ringgit semakin kukuh dan lebih mencerminkan asas-asas ekonomi yang bertambah teguh. Mudah tunai sistem perbankan terus mencukupi. Institusi kewangan terus beroperasi dengan penampan modal dan mudah tunai yang kukuh. Pembiayaan kepada sektor swasta terus meningkat dan menyokong aktiviti ekonomi.

Pada kadar semasa OPR, pendirian dasar monetari kekal akomodatif. MPC akan terus menilai imbangan risiko berhubung dengan prospek pertumbuhan domestik dan inflasi.

Bank Negara Malaysia
07 Sep 2017

© Bank Negara Malaysia, 2017. All rights reserved.