Cetak       Kongsi


Proses tempahan Duit Syiling Peringatan baharu berjaya menjangkau lebih ramai pelanggan

No Ruj : 09/17/05 08 Sep 2017 Embargo : Untuk Siaran Segera    

Jualan duit syiling peringatan melalui tempahan dalam talian oleh Bank Negara Malaysia bersempena dengan Sukan SEA ke-29 dan Sukan Para ASEAN ke-9 telah dimulakan pada 29 Ogos 2017. Langkah ini adalah untuk memudahkan orang ramai membeli duit syiling edisi terhad ini dan untuk memberikan peluang yang lebih saksama kepada pembeli di seluruh negara. Tempahan dalam talian merupakan sebahagian daripada proses tempahan sebelum jualan (pre-ordering) yang membolehkan orang ramai membuat tempahan dalam talian melalui e-mel dan melalui pejabat-pejabat Bank di seluruh negara.

Orang ramai telah memberikan sambutan yang menggalakkan terhadap jualan duit syiling peringatan ini dengan tempahan yang diterima oleh Bank daripada pembeli yang berminat melebihi 2,000 orang, iaitu kira-kira empat kali berbanding dengan jualan sebelumnya. Bank juga telah memperkenalkan proses pengundian baharu menggunakan komputer untuk duit syiling yang terlebih tempahan. Proses tempahan dan pengundian ini disaksikan oleh juruaudit dalaman Bank untuk memastikan integriti dalam proses pengundian.

Keputusan tempahan dalam talian boleh didapati melalui www.bnm.gov.my (lihat lampiran di bawah), di Muzium dan Galeri Seni Bank Negara Malaysia dan pejabat-pejabat Bank di seluruh negara.

Pembayaran dan Pengambilan

Bank juga telah melanjutkan tempoh pengambilan bagi membolehkan pembeli yang berjaya membuat pembayaran dan mengambil duit syiling mengikut kemudahan mereka. Pembeli yang berjaya boleh berbuat demikian antara pukul 9.00 pagi hingga 4.00 petang mulai 8 hingga 12 September 2017 di Muzium dan Galeri Seni Bank Negara Malaysia (setiap hari, termasuk pada hujung minggu dan cuti umum) dan di pejabat-pejabat Bank di Pulau Pinang, Johor Bahru, Kota Kinabalu, Kuching dan Kuala Terengganu (hari bekerja biasa).

Pembeli hendaklah datang sendiri dan menunjukkan pengenalan diri yang sah untuk mengambil tempahan (contohnya MyKad untuk rakyat Malaysia/ Pasport untuk bukan rakyat Malaysia). Duit syiling yang tidak diambil selepas pukul 4.00 petang pada 12 September 2017 akan ditawarkan kepada pembeli dalam senarai simpanan undian. Jualan runcit duit syiling Emas Nordic hanya akan mula dijual di Muzium dan Galeri Seni Bank Negara Malaysia mulai 13 September 2017.

Untuk maklumat lanjut, sila hubungi 03-2691 0433 atau bnmtelelink@bnm.gov.my.

Lihat juga:

Bank Negara Malaysia
08 Sep 2017

© Bank Negara Malaysia, 2017. All rights reserved.