Cetak       Kongsi


Penolong Gabenor Bank Negara Malaysia Berkhidmat Semula di Bank Negara Malaysia

No Ruj : 09/17/07 26 Sep 2017 Embargo : Untuk Siaran Segera    

Bank Negara Malaysia ingin mengumumkan bahawa Datuk Ahmad Hizzad Baharuddin  akan berkhidmat semula di Bank berikutan tamat tempoh beliau dipinjamkan ke Lembaga Perkhidmatan Kewangan Labuan (Labuan Financial Services Authority, Labuan FSA) selama enam tahun sebagai Ketua Pengarah.

Berkuat kuasa 3 Oktober 2017, Datuk Ahmad Hizzad akan menjadi Penolong Gabenor yang bertanggungjawab terhadap Jabatan Operasi Pelaburan dan Pasaran Kewangan, Jabatan Pentadbiran Pertukaran Asing, Jabatan Undang-Undang dan Jabatan Pengurusan dan Operasi Matawang. Beliau juga akan menjadi pengerusi bersama Jawatankuasa Pasaran Kewangan bersama-sama dengan Penolong Gabenor Puan Norzila Abdul Aziz.

Sebelum beliau dipinjamkan untuk berkhidmat di Labuan FSA, Datuk Ahmad Hizzad merupakan Pengarah di beberapa jabatan di Bank, termasuk Jabatan Dasar Sistem Pembayaran, Jabatan Pembangunan Sektor Kewangan dan Jabatan Perbankan Islam dan Takaful. Datuk Ahmad Hizzad memperoleh ijazah Sarjana Muda Sains dalam Perniagaan daripada Eastern Illinois University, Amerika Syarikat dan Sarjana Pentadbiran Perniagaan daripada Saint Louis University, Amerika Syarikat.

 Penolong Gabenor Bank Negara Malaysia, Datuk Ahmad Hizzad Baharuddin

Bank Negara Malaysia
26 Sep 2017

© Bank Negara Malaysia, 2017. All rights reserved.