Cetak       Kongsi


Pelantikan Ketua Pengarah Baharu Lembaga Perkhidmatan Kewangan Labuan (Labuan FSA)

No Ruj : 26 Sep 2017 Embargo : Untuk Siaran Segera    

Lembaga Perkhidmatan Kewangan Labuan (Labuan FSA) ingin mengumumkan bahawa YAB Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak, Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, telah bersetuju dengan pelantikan Encik Danial Mah bin Abdullah sebagai Ketua Pengarah Labuan FSA yang baharu untuk tempoh tiga tahun berkuat kuasa pada 3 Oktober 2017.

Encik Danial Mah mengambil alih jawatan Ketua Pengarah ini berikutan tamat tempoh Datuk Ahmad Hizzad bin Baharuddin dipinjamkan ke Labuan FSA. Pihak Labuan FSA ingin merakamkan penghargaan kepada Datuk Ahmad Hizzad atas sumbangannya sepanjang tempoh perkhidmatan di Labuan FSA.

Encik Danial Mah kini menyandang jawatan Timbalan Ketua Pengarah Labuan FSA sejak tahun 2007. Beliau juga merupakan Pengerusi bagi Jawatankuasa Risiko Kredit, Pelaburan dan Pengurusan Risiko, Jawatankuasa Pengurusan Aset dan Jawatankuasa Pengurusan Tenaga Mahir Labuan FSA. Selain itu, Encik Danial Mah juga merupakan Setiausaha kepada Labuan FSA. Encik Danial mula berkhidmat di Labuan FSA pada tahun 1997 dan telah menyandang beberapa jawatan penting dalam organisasi tersebut. 

Encik Danial Mah merupakan ahli Jawatankuasa Eksekutif Pasaran Kewangan Islam Antarabangsa (IIFM), ahli Jawatankuasa Kestabilan Kewangan, ahli ganti Lembaga Pengarah IIFM, dan ahli Lembaga Pengarah Labuan IBFC Incorporated Sdn Bhd, Labuan FSA Incorporated Sdn Bhd dan Pristine Era Sdn Bhd. Beliau juga memegang jawatan Ketua Pengarah Eksekutif interim bagi Labuan IBFC Incorporated Sdn Bhd sejak tahun 2015.

Encik Danial Mah ialah Akauntan Bertauliah (Chartered Accountant) yang berdaftar dengan Malaysia Institute of Accountants dan juga Ahli Bersekutu Institute of Bankers Malaysia. Encik Danial Mah berkelulusan Sarjana Muda Perakaunan  daripada Universiti Malaya dan Sarjana Pentadbiran Perniagaan (dengan Kepujian) daripada Manchester Business School, United Kingdom.

Lembaga Perkhidmatan Kewangan Labuan 
26 September 2017

 

 

© Bank Negara Malaysia, 2017. All rights reserved.