Cetak       Kongsi


Kemudahan Bantuan Bencana BNM untuk PKS yang Terjejas Akibat Banjir

No Ruj : 11/17/03 07 Nov 2017 Embargo : Untuk Siaran Segera    

Bank Negara Malaysia (BNM) ingin mengumumkan penyediaan Kemudahan Bantuan Bencana berjumlah RM500 juta untuk mengurangkan beban kewangan dan membantu memulihkan operasi perniagaan perusahaan kecil sederhana (PKS) yang telah terjejas akibat banjir baru-baru ini di beberapa negeri di utara Semenanjung Malaysia.

Di bawah Kemudahan ini, perniagaan yang terjejas boleh mendapatkan pembiayaan pada kadar yang lebih rendah daripada mana-mana bank perdagangan, bank Islam dan institusi kewangan pembangunan yang dikawal selia oleh BNM. BNM akan menyediakan jaminan sebanyak 60% untuk pembiayaan yang diperoleh melalui Credit Guarantee Corporation Malaysia Berhad (CGC).

Ciri-ciri utama Kemudahan ini ialah:

  • Disediakan untuk PKS milik warganegara Malaysia yang terjejas di daerah yang dikenal pasti oleh Agensi Pengurusan Bencana Negara sebagai kawasan bencana banjir;
  • Jumlah pembiayaan maksimum sebanyak RM500,000 bagi setiap kumpulan syarikat (group of companies);
  • Pembiayaan adalah untuk tujuan pembaikan/ pembelian aset untuk menggantikan aset yang rosak akibat banjir, serta untuk modal kerja;
  • Kadar pembiayaan efektif ialah sehingga 2.25% setahun; dan
  • Tempoh pembiayaan adalah sehingga lima tahun, dengan tempoh penangguhan bayaran balik selama enam bulan.

Perusahaan perniagaan yang memerlukan bantuan boleh mengemukakan permohonan kepada mana-mana institusi kewangan peserta. Kemudahan ini terbuka untuk permohonan mulai esok sehingga 31 Mei 2018.

Institusi kewangan juga telah memberikan komitmen untuk memberikan keutamaan tertinggi kepada semua permohonan bantuan daripada pelanggan yang terjejas akibat banjir.

Orang ramai boleh menghubungi terus pusat perhubungan pelanggan institusi kewangan mereka untuk pertanyaan atau bantuan. Orang ramai juga boleh menghubungi TELELINK Bank Negara Malaysia di talian 1-300-88-5465 untuk maklumat lanjut atau bantuan.

Bank Negara Malaysia
07 Nov 2017

© Bank Negara Malaysia, 2017. All rights reserved.