Print       Share


Pernyataan Dasar Monetari

Ref No : 11/17/05 09 Nov 2017 Embargo : Not for publication or broadcast before 1500 hours on Thursday 09 November 2017

Mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) Bank Negara Malaysia hari ini membuat keputusan untuk mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada 3.00 peratus.

Ekonomi global makin kukuh. Pertumbuhan kini lebih mantap dan segerak merentas rantau. Perdagangan dunia telah meningkat dengan ketara. Dalam keadaan prestasi pertumbuhan yang semakin mampan, lebihan kapasiti ekonomi semakin mengecil di negara maju. Di Asia, pertumbuhan telah didorong oleh aktiviti domestik yang mampan dan juga permintaan luaran yang kukuh. Pasaran kewangan pula secara relatif lebih stabil sejak kebelakangan ini. Bagi tahun 2018, pertumbuhan ekonomi global diunjurkan terus mampan. Meskipun terdapat risiko yang disebabkan oleh perkembangan politik dan dasar di negara ekonomi utama, prospek ekonomi global dijangka terus menggalakkan.

Pertumbuhan ekonomi negara semakin mantap. Prestasi kedua-dua sektor domestik dan luaran terus berkembang. Momentum pertumbuhan telah dirangsang oleh kesan limpahan yang ketara daripada sektor luaran ke atas ekonomi dalam negeri. Ini didorong oleh pelaburan syarikat-syarikat swasta untuk meningkatkan kapasiti produktif, peningkatan upah dan penambahan pekerja mereka. Bagi tahun 2018, permintaan dalam negeri dijangka terus menjadi sumber utama pertumbuhan. Penggunaan swasta akan terus menjadi pendorong terbesar pertumbuhan, disokong oleh peningkatan pendapatan dan keadaan pasaran pekerja keseluruhan yang bertambah baik. Pelaburan kekal mantap disokong oleh projek-projek infrastruktur dan pelaburan modal yang lebih tinggi dalam sektor perkilangan dan perkhidmatan. Sektor luaran juga akan menjadi pemangkin tambahan kepada ekonomi. Prestasi ekonomi secara keseluruhan dijangka terus kukuh pada tahun 2018.

Inflasi dalam negeri sebahagian besarnya dipengaruhi pergerakan harga minyak global. Oleh itu, inflasi keseluruhan meningkat kepada 4.3% pada bulan September, berikutan kenaikan harga minyak bertapis global akibat gangguan dalam bekalan global. Bagi keseluruhan tahun 2017, inflasi keseluruhan dijangka berada pada paras yang lebih tinggi dalam julat yang diramalkan. Melangkah ke tahun 2018, kadar inflasi keseluruhan diunjurkan menurun berikutan jangkaan pengurangan kesan daripada faktor kos global. Walau bagaimanapun, trend inflasi keseluruhan bergantung pada harga minyak global masa depan yang masih amat tidak menentu. Inflasi asas, seperti yang diukur oleh inflasi teras didorong oleh keadaan permintaan dalam negeri yang kukuh.

Pasaran kewangan domestik terus berdaya tahan. Ringgit semakin kukuh dan lebih mencerminkan asas-asas ekonomi yang bertambah teguh. Mudah tunai sistem perbankan terus mencukupi. Institusi kewangan terus beroperasi dengan penampan modal dan mudah tunai yang kukuh. Pembiayaan kepada sektor swasta terus meningkat dan menyokong aktiviti ekonomi.

Pada kadar semasa OPR, pendirian dasar monetari kekal akomodatif. Dalam keadaan makroekonomi global dan dalam negeri yang kukuh, MPC mungkin mempertimbangkan untuk mengkaji tahap akomodasi dasar monetari pada masa ini. Ini adalah perlu untuk memastikan prospek pertumbuhan ekonomi Malaysia terus mampan.

Mesyuarat juga meluluskan jadual mesyuarat MPC untuk 2018. Selaras dengan Akta Bank Negara Malaysia 2009, MPC akan bermesyuarat sebanyak enam kali pada tahun 2018. Mesyuarat akan diadakan selama dua hari dan Pernyataan Dasar Monetari diumumkan pada pukul 3 petang pada hari kedua mesyuarat MPC.

Jadual Mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari 2018

Bil Mesyuarat MPC

Tarikh

Pertama

24 dan 25 Januari 2018 (Rabu dan Khamis)

Ke-2

6 dan 7 Mac 2018 (Selasa dan Rabu)

Ke-3

9 dan 10 Mei 2018 (Rabu dan Khamis)

Ke-4

10 dan 11 Julai 2018 (Selasa dan Rabu)

Ke-5

4 dan 5 September 2018 (Selasa dan Rabu)

Ke-6

7 dan 8 November 2018 (Rabu dan Khamis)

Bank Negara Malaysia
09 Nov 2017

© Bank Negara Malaysia, 2017. All rights reserved.