Cetak       Kongsi


Pemenang Codeathon FIU Antarabangsa 2017

No Ruj : 11/17/09 21 Nov 2017 Embargo : Untuk Siaran Segera    

Bank Negara Malaysia dan agensi risikan kewangan Australia atau AUSTRAC, dengan sukacitanya mengumumkan pemenang-pemenang bagi Codeathon Unit Risikan Kewangan (FIU) Antarabangsa 2017, yang pertama kali diadakan.

Codeathon ini telah diadakan pada 18 – 19 November lalu bersempena dengan Sidang Kemuncak Pencegahan Pembiayaan Keganasan ke-3 tahun 2017, yang dihadiri 69 peserta daripada 11 buah negara. Peserta terdiri daripada mereka dari Unit Risikan Kewangan (FIU), Teknologi Kewangan (FinTech) dan Teknologi Pengawalseliaan (RegTech), institusi kewangan dan juga orang perseorangan (pembina perisian, pengatur cara (programmer), penganalisis, pereka, jurutera, pelajar, atau penggemar komputer) yang berusaha untuk menyelesaikan cabaran-cabaran berikut: 

  • Di manakah wang itu?
    Bagaimana anda memantau perubahan dunia pertukaran nilai pada peringkat antarabangsa, dengan mengambil kira teknologi terkini dan peralihan daripada wang kepada nilai dalam pelbagai bentuk?
  • Siapakah anda?
    Bagaimanakah anda mengenal pasti mereka yang terlibat dalam pembiayaan keganasan, pengubahan wang haram, dadah atau kegiatan jenayah lain dengan mata wang kripto (crypto currencies) atau saluran lain yang menggunakan nama samaran?
  • Bantu komuniti anda!
    Bagaimanakah anda mengenal pasti risiko yang jelas akan terjadi pada komuniti anda dan menghalang bahaya risiko itu sebelum ia berlaku, khususnya yang berkaitan dengan pengubahan wang haram/pembiayaan keganasan (ML/TF)?

Peserta Codeathon memilih sekurang-kurangnya satu cabaran dan mencipta solusi untuk menangani isu pembiayaan keganasan yang berkesan, dan juga produk yang tulen dan mudah digunakan.

Melalui penyertaan daripada pelbagai latar belakang, Codeathon ini telah menggalakkan kerjasama antara sektor yang berbeza dalam menangani cabaran-cabaran di atas. Solusi mereka yang inovatif telah dikemukakan dalam pelbagai bentuk, termasuk aplikasi langsung, laman sesawang atau prototaip. Selepas 32 jam yang cukup mencabar untuk pengekodan (coding), para peserta mengemukakan solusi mereka berserta tayangan video pendek yang menjelaskan kegunaan dan kaitan produk untuk menangani cabaran-cabaran berkenaan.

Pemenang Codeathon ialah:

Kategori Berpasukan

  • Johan - RM15,800 ($5,000 AUD): Overwatch – Blockchain Address Validation
  • Naib Johan - RM9,500 ($3,000 AUD): SocialHash
  • Tempat Ketiga - RM3,200 ($1,000 AUD): LinkAI – The Network Miner
  • Pasukan Terbaik - RM1,600 ($500 AUD) dan trofi: Dodge Index

Kategori Perseorangan

  • Pemenang “Spirit of CTF Codeathon" - RM950 ($300 AUD) dan trofi: Elliot Ian Shepherd
  • Naib Johan "Spirit of CTF Codeathon" - Trofi: Yudhitia Mustika Sari

Hakim-hakim berpendapat bahawa juara Codeathon iaitu Overwatch - Blockchain Address Validation telah mencipta program yang menunjukkan inovasi tulen, berdaya cipta dan paling berkesan untuk menangani Cabaran "Bantu Komuniti Anda" dengan menyediakan suatu perkhidmatan bagi pengguna dan platform mata wang kripto. Perkhidmatan ini membolehkan kecerdasan buatan (artificial intelligence) memberikan amaran mengenai alamat Blockchain yang terlibat secara langsung atau dikaitkan dengan aktiviti yang mencurigakan. Naib juara, Social Hash wajar diberikan pengiktirafan atas keupayaan menyediakan solusi yang bertumpukan pada kontrak pintar (smart contracts) yang membolehkan pengesanan data rentas sempadan melalui rangkaian sosial dan penyiasatan.

Antara peserta yang mengambil bahagian dalam program "International FIU Codeathon 2017"

Kumpulan "Dodge Index" menjuarai kategori "Best Performed Team"

BNM dan AUSTRAC merakamkan ucapan tahniah kepada semua peserta atas semangat dan kerjasama yang dipamerkan pada Codethon tahun ini.

Para peserta dipelawa mendaftar untuk Codethon ASEAN-Australia tahun hadapan yang dianjurkan oleh AUSTRAC di Sydney pada 14 – 15 Mac 2018, seminggu sebelum Sidang Kemuncak Khas ASEAN-Australia dan Persidangan Pencegahan Keganasan. Pendaftaran kini dibuka melalui laman sesawang AUSTRAC (http://www.austrac.gov.au/about-us/international-engagement/asean-australia-codethon)

Bank Negara Malaysia
Australian Transaction Reports and Analysis Centre (AUSTRAC)
20 November 2017

Kumpulan "Overwatch - Blockchain Address Validation" menjuarai tempat pertama 

 

© Bank Negara Malaysia, 2017. All rights reserved.