Cetak       Kongsi


Mewujudkan perniagaan mata wang digital yang telus di Malaysia

No Ruj : 12/17/13 14 Dec 2017 Embargo : Untuk Siaran Segera    

Menggunakan obligasi pelaporan terhadap perniagaan pertukaran mata wang digital sebagai Institusi Pelapor di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001

Bank Negara Malaysia (Bank) hari ini mengeluarkan draf cadangan (exposure draft)  untuk mendapatkan maklum balas orang ramai mengenai penggunaan obligasi pelaporan bagi perniagaan pertukaran mata wang digital sebagai institusi pelapor di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLA). Ini bertujuan untuk memastikan langkah-langkah yang berkesan dilaksanakan bagi menangani risiko pengubahan wang haram/pembiayaan keganasan yang berkaitan dengan penggunaan mata wang digital dan meningkatkan ketelusan aktiviti mata wang digital di Malaysia.

Dasar yang dicadangkan ini menggariskan obligasi undang-undang, keperluan dan piawaian yang akan ditakrifkan di bawah Jadual Pertama AMLA, yang perlu dilaksanakan oleh penukar mata wang digital sebagai institusi pelapor. Ini termasuk obligasi ketelusan yang bertujuan memberikan maklumat yang berkaitan supaya orang ramai memahami dan menilai dengan lebih baik mengenai risiko berkaitan dengan penggunaan mata wang digital. Ketelusan yang lebih tinggi juga akan mencegah penggunaan mata wang digital dalam aktiviti jenayah atau yang menyalahi undang-undang. Sebagai institusi pelapor, penukar mata wang digital juga perlu mengisytiharkan maklumat terperinci kepada Bank.

Kegagalan untuk mengisytiharkan maklumat terperinci sebagai institusi pelapor atau mematuhi obligasi pelaporan mungkin menyebabkan penukar mata wang digital dikenakan tindakan penguatkuasaan atau ketidakpatuhan seperti yang diperuntukkan di bawah AMLA serta kemungkinan perkhidmatan ditamatkan atau tidak dibenarkan menggunakan perkhidmatan kewangan di Malaysia.

Bank Negara Malaysia tidak mengawal selia mata wang digital

Penggunaan obligasi pelaporan terhadap perniagaan pertukaran mata wang digital tidak memberikan apa-apa konotasi bahawa Bank memberikan kebenaran, pelesenan, sokongan atau pengesahan kepada mana-mana entiti yang terlibat dengan penyediaan perkhidmatan mata wang digital. Orang ramai diingatkan bahawa mata wang digital tidak sah diperlakukan di Malaysia. Sehubungan dengan itu, perniagaan mata wang digital tidak dilindungi oleh piawaian atau pengaturan kehematan dan amalan pasaran yang terpakai pada institusi kewangan yang dikawal selia oleh Bank. Ini selaras dengan obligasi pelaporan semasa yang digunakan di bawah AMLA terhadap institusi pelapor lain seperti firma undang-undang atau perakaunan dan ejen harta tanah yang tidak tertakluk di bawah kawal selia Bank.

Orang ramai bertanggungjawab terhadap penilaian risiko

Orang ramai dinasihatkan untuk menilai dengan teliti risiko berkaitan dengan urus niaga dalam mata wang digital. Ini termasuk risiko yang berpunca daripada turun naik harga yang ketara, ketiadaan pasaran yang dalam dan mudah terdedah terhadap serangan siber yang boleh menyebabkan kerugian yang ketara. Pengguna mata wang digital juga tidak akan dilindungi di bawah pengaturan penyelesaian pertikaian yang mapan yang disediakan untuk institusi kewangan yang dikawal selia sekiranya berlaku apa-apa pertikaian atau kerugian.

Penggunaan obligasi pelaporan terhadap penukar mata wang digital merupakan langkah pertama ke arah menjadikan aktiviti mata wang digital yang lebih telus di Malaysia. Bank akan terus memantau dan menilai risiko yang dihadapi sistem kewangan melalui aktiviti seperti ini bagi memastikan integriti sistem kewangan terus terpelihara.
Bank mengalu-alukan maklum balas bertulis mengenai keperluan khusus yang digariskan dalam draf cadangan. Maklum balas hendaklah dihantar kepada Bank sebelum atau pada 14 Januari 2018.

Orang ramai boleh mendapatkan salinan draf cadangan melalui http://www.bnm.gov.my/index.php?ch=57&pg=150&ac=660&bb=file.

Bank Negara Malaysia
14 Dec 2017

© Bank Negara Malaysia, 2017. All rights reserved.