Cetak       Kongsi


Pengeluaran Wang Kertas Peringatan Bersempena Dengan Ulang Tahun Ke-60 Perjanjian Kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu

No Ruj : 12/17/11 14 Dec 2017 Embargo : Untuk Siaran Segera    

Bank Negara Malaysia akan mengeluarkan wang kertas peringatan bersempena dengan Ulang Tahun ke-60 Perjanjian Kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu. Wang kertas peringatan ini dirasmikan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Yang di-Pertuan Agong XV Sultan Muhammad V di Muzium dan Galeri Seni, Sasana Kijang, Bank Negara Malaysia, Kuala Lumpur.

Wang kertas ini memperingati Ulang Tahun ke-60 upacara menandatangani Perjanjian Kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu pada tahun 1957. Wang kertas peringatan ini merupakan tanda penghormatan terhadap sumbangan Majlis (kemudiannya dikenali sebagai Persidangan) Raja-Raja yang merintis jalan ke arah merealisasikan kemerdekaan Tanah Melayu pada 31 Ogos 1957. Perjanjian bertarikh 5 Ogos 1957 yang mengisytiharkan Yang di-Pertuan Agong sebagai Ketua Tertinggi Persekutuan Tanah Melayu telah ditandatangani antara pihak Majlis Raja-Raja yang terdiri daripada Raja-raja Melayu dari Johor, Kedah, Kelantan, Negeri Sembilan, Pahang, Perak, Perlis, Selangor dan Terengganu dengan Sir Donald MacGillivray, Pesuruhjaya Tinggi Persekutuan Tanah Melayu, yang mewakili Queen Elizabeth II. Perjanjian ini menjadi bukti perlembagaan yang bersejarah bagi kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu.

Spesifikasi wang kertas peringatan ini adalah seperti berikut:

  1. Wang Kertas Sekeping RM600
    Nilai muka wang kertas bersaiz besar ini ialah RM600 dan harga jualannya RM1,700 sekeping.  Sebanyak 6,000 keping sahaja dicetak.

  2. Wang Kertas Bercantum 3 dalam 1 RM60
    Nilai muka wang kertas bercantum ini ialah RM180 dan harga jualannya RM500 sekeping. Sebanyak 6,000 keping sahaja dicetak.

  3. Wang Kertas Sekeping RM60
    Nilai muka wang kertas sekeping ini ialah RM60 dan harga jualannya RM120 sekeping. Sebanyak 60,000 keping sahaja dicetak.

Nota: Kesemua harga yang dinyatakan di atas sudah termasuk GST.

Butiran terperinci berkenaan spesifikasi dan ciri-ciri keselamatan utama kesemua wang kertas peringatan ini terdapat dalam Lampiran I.

Reka Bentuk Wang Kertas

Reka bentuk wang kertas peringatan ini berdasarkan tema “Raja Payung Kedaulatan Negara”. Wang kertas peringatan ini adalah yang pertama dicetak oleh Bank Negara Malaysia menggunakan bahan substrat komposit, iaitu gabungan substrat polimer dan kertas yang mempunyai ciri-ciri keselamatan yang lebih tinggi dan jangka hayat yang lebih panjang.  Wang kertas peringatan ini dicetak lebih besar, mengikut nilai muka wang tersebut. 

Reka Bentuk Hadapan

Singgahsana di-Raja dikelilingi potret 15 Yang di-Pertuan Agong yang bertakhta dari tahun 1957 sehingga kini tertera pada bahagian tengah wang kertas, melambangkan Malaysia sebagai sebuah negara Raja Berperlembagaan. Reka bentuk hadapan diilhamkan daripada lambang bulan sabit dan bintang pecah 14 Persekutuan yang tersemat pada Tengkolok Diraja.

Reka Bentuk Belakang

Reka bentuk bahagian belakang wang kertas peringatan ini memaparkan potret sembilan Raja-raja Melayu yang menandatangani Perjanjian Kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu pada 5 Ogos 1957. Kesemua wang kertas peringatan ini dihiasi dengan gambar tokoh-tokoh dan ciri-ciri penting yang berkaitan dengan kemerdekaan. Pada bahagian kanan wang kertas ini terdapat bayangan laungan kemerdekaan oleh Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj yang merupakan arkitek Kemerdekaan Tanah Melayu dan Perdana Menteri Malaysia yang pertama. Terdapat empat mercu tanda penting yang dicetak pada latar belakang wang kertas ini: Istana Negara, Perdana Putra, bangunan Parlimen dan Istana Kehakiman yang  masing-masing mencerminkan empat tonggak negara: Institusi Pemerintahan Beraja, Badan Eksekutif, Badan Perundangan dan Badan Kehakiman.

Reka bentuk terperinci wang kertas peringatan ini terdapat dalam Lampiran II.

Pameran untuk Orang Ramai dan Jualan

Contoh wang kertas ini akan dipamerkan kepada orang ramai mulai Khamis, 21 Disember 2017 di Muzium dan Galeri Seni Bank Negara Malaysia dan di pejabat-pejabat Bank Negara Malaysia di Pulau Pinang, Johor Bahru, Kota Kinabalu, Kuching dan Kuala Terengganu.

Bagi memastikan peluang yang sama rata untuk semua orang membeli wang kertas edisi terhad ini, pembelian akan dihadkan (setiap pembeli boleh membeli sekeping wang kertas RM600, satu set wang kertas bercantum 3 dalam 1 RM60 dan lima keping wang kertas RM60). Untuk memudahkan pembelian, orang ramai boleh membuat tempahan dalam talian mulai 5 Januari 2018. Sekiranya jumlah tempahan melebihi jumlah yang ditawarkan, tempahan akan dilaksanakan melalui undian. Wang kertas peringatan yang bernombor siri istimewa akan dijual melalui lelongan awam pada 10 Mac 2018. Maklumat lanjut tentang tempahan, lelongan, pembayaran dan tempoh pengambilan akan diumumkan kepada orang ramai melalui siaran akhbar sebelum tarikh jualan.

Lampiran I

Lampiran II

Bank Negara Malaysia
14 Dec 2017

© Bank Negara Malaysia, 2017. All rights reserved.