Cetak       Kongsi


Kenyataan oleh Jawatankuasa Pasaran Kewangan - Maklumat Terkini Pasaran Kewangan Malaysia

No Ruj : 12/17/16 21 Dec 2017 Embargo : Untuk Siaran Segera    

Jawatankuasa Pasaran Kewangan (FMC) ingin memberikan maklumat terkini mengenai pasaran kewangan sejak kemas terakhir pada bulan Jun 2017 yang lalu. Pada bulan November 2017, siri ketiga inisiatif diperkenalkan kepada pasaran dengan tujuan menambah baik jualan singkat pasaran bon dan melancarkan operasi mudah tunai antara bank tempatan berlesen melalui tambahan cagaran yang layak bagi operasi mudah tunai. Selain itu, inisiatif ini juga meliputi pengenalan Bil Antara Bank BNM (BNIB). Fleksibiliti tambahan bagi perlindungan nilai pertukaran asing turut diperkenalkan kepada bukan pemastautin untuk menguruskan dedahan ringgit berikutan kontrak minyak sawit mentah dalam denominasi ringgit yang didagangkan di Bursa Malaysia.

Ringgit menimbah nilai sebanyak 10.1% pada tahun 2017 dan diurusniagakan dalam julat 4.05 hingga 4.09 berbanding USD pada bulan Disember. Kadar pertukaran kekal stabil dengan turun naik tersirat 1 bulan USD/MYR pada kadar purata 4.5% tahun ini.

Mudah tunai pasaran dalam negeri juga bertambah baik dan boleh memenuhi keperluan perlindungan nilai pemastautin dan bukan pemastautin. Pada tahun 2017, pasaran pertukaran asing dalam negeri mencatat jumlah purata harian yang mampan pada USD9.9 bilion berbanding USD8.1 bilion pada tahun 2016. Daripada jumlah ini, transaksi hadapan dan swap mencatat purata USD3.8 bilion sehari. Dengan mudah tunai yang lebih baik, purata spread bida-tawar USD/MYR lebih rendah pada 24 mata, berbanding 46 mata pada tahun 2016.

Jumlah pasaran FX dalam negeri kebanyakannya terdiri daripada aliran perdagangan sektor benar yang mencakupi lebih 50% daripada jumlah keseluruhan. Pada masa yang sama, bahagian aliran portfolio bukan pemastautin menurun kepada kurang daripada satu perempat. Penetapan harga pasaran dalam negeri kini didorong kegiatan sektor benar dan bukannya urus niaga spekulatif.

Hasil pelaksanaan inisiatif-inisiatif tersebut, terdapat tanda-tanda yang menggalakkan bahawa keseimbangan antara permintaan dengan penawaran mata wang asing bertambah baik, sekali gus menjadikan pasaran pertukaran asing lebih cekap. Sejak Disember 2016, jumlah kumulatif perolehan eksport bersih dalam FX ialah +USD8.8 bilion, berbanding –USD0.5 bilion antara Januari hingga November 2016.

Pasaran bon Malaysia terus menarik minat para pelabur. Tiga lelongan utama terakhir bon kerajaan melibatkan penyertaan pelbagai pelabur. Bukan pemastautin terus menyertai pasaran bon dengan jumlah pelaburan lebih tinggi sebanyak RM6.2 billion pada suku keempat 2017, mencakupi 27.4% daripada jumlah bon kerajaan terkumpul pada 20 Disember 2017. Bagi tahun 2017, purata nisbah bida kepada perlindungan melebihi dua kali.

Jumlah dagangan harian purata pasaran bon sekunder pada tahun 2017 ialah RM3.5 bilion. Pada bulan November 2017, jumlah jualan singkat Sekuriti Kerajaan Malaysia (MGS) meningkat kepada RM1.6 bilion.

Di bawah rangka kerja perlindungan nilai dinamik, 73 pengurus dana telah berdaftar dengan Bank Negara Malaysia (BNM), dengan nilai aset di bawah pengurusan (assets under management, AUM) yang layak sebanyak RM126.2 bilion. Daripada jumlah pengurus dana yang berdaftar, 57 merupakan bukan pemastautin. Sejak program perlindungan nilai dinamik dibuka kepada entiti korporat, 21 syarikat termasuk entiti asing, telah berdaftar dengan BNM.

BNM dan FMC akan terus mengadakan perbincangan dan interaksi dengan peserta pasaran dan terus menumpukan pada usaha mewujudkan persekitaran pasaran kewangan yang kondusif dan teratur bagi memudahkan sektor perniagaan demi manfaat kepada ekonomi.

Jawatankuasa Pasaran Kewangan
21 Disember 2017

 

© Bank Negara Malaysia, 2017. All rights reserved.