Cetak       Kongsi


Pembelian Tanah untuk Pembangunan Hab Pendidikan Kewangan

No Ruj : 01/18/03 04 Jan 2018 Embargo : Untuk Siaran Segera    

Bank Negara Malaysia (Bank) hari ini mengumumkan bahawa Bank telah membeli sebidang tanah dengan keluasan 55.79 ekar daripada Kerajaan Malaysia. Transaksi ini telah disempurnakan selepas kedua-dua pihak mengadakan beberapa siri perbincangan selama beberapa bulan.

Kawasan tanah ini terletak bersebelahan dengan kompleks Sasana Kijang Bank Negara Malaysia, bangunan yang dilengkapi dengan kemudahan persidangan dan latihan yang canggih serta menempatkan organisasi antarabangsa seperti Bank Dunia, Pusat Penyelidikan dan Latihan Bank-Bank Pusat Asia Tenggara (South East Asian Central Banks Research and Training Centre, SEACEN) dan Persatuan bagi Rangkuman Kewangan (Alliance for Financial Inclusion, AFI). Lokasi tanah ini juga berdekatan dengan kompleks Asia School of Business yang baharu (kerjasama Bank dengan Massachusetts Institute of Technology) dan Pusat Latihan Industri Kewangan yang sedang dalam pembinaan.

Kawasan tanah ini juga akan digunakan untuk menempatkan Universiti Kewangan Islam Global (Global Islamic Finance University, INCEIF) dan Akademi Penyelidikan Syariah Antarabangsa bagi Kewangan Islam (International Shari’ah Research Academy for Islamic Finance, ISRA). Selain itu, kawasan ini juga akan digunakan untuk pembangunan pendidikan dan latihan yang memberi lebih tumpuan pada peningkatan keupayaan teknikal bagi bakat dalam industri perkhidmatan kewangan.

Keseluruhan kawasan ini akan dikhusus dan disepadukan untuk pembangunan Hab Pendidikan Perkhidmatan Kewangan bertaraf dunia. Hab ini dijangka menjadi pusat utama pembelajaran dan pendidikan antarabangsa untuk melahirkan kumpulan tenaga kerja tempatan secara berterusan bagi menyokong pembangunan industri kewangan domestik.

Kos pembelian tanah ini dianggarkan sebanyak RM2 bilion bergantung pada kaji ukur terperinci kawasan terlibat. Penilaian harga tanah ini adalah seperti yang dipersetujui bersama oleh Bank dan Kerajaan Malaysia berdasarkan penilaian yang dibuat oleh jurunilai harta tanah bebas yang dilantik.

Bank Negara Malaysia
04 Jan 2018

© Bank Negara Malaysia, 2018. All rights reserved.