Cetak       Kongsi


Mengalu-alukan Pencalonan Global untuk Anugerah Diraja Kewangan Islam

No Ruj : 08 Jan 2018 Embargo : Untuk Siaran Segera    

Anugerah Diraja Kewangan Islam mengumumkan pencarian global untuk memberikan pengiktirafan kepada individu dalam bidang kewangan Islam, dengan mengalu-alukan pencalonan bagi penerima Anugerah Diraja yang kelima.

Anugerah Diraja yang dimulakan pada tahun 2010 sebagai anugerah dwitahunan merupakan satu inisiatif yang dipelopori oleh Bank Negara Malaysia (BNM) dan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC). Anugerah khas ini adalah untuk mengiktiraf pemimpin dan individu berwawasan kewangan Islam yang telah memberikan sumbangan besar kepada pertumbuhan kewangan Islam pada peringkat global dan kemajuan sosial masyarakat di seluruh dunia.

Tujuh juri bebas antarabangsa yang dipengerusikan oleh Tun Musa Hitam, Pengerusi Yayasan Forum Ekonomi Islam Dunia, akan memilih seorang individu yang layak untuk menerima Anugerah Diraja kali ini. Kriteria pemilihan untuk Anugerah Diraja Kewangan Islam merangkumi aspek kuantitatif dan kualitatif berdasarkan sumbangan cemerlang individu terhadap kewangan Islam di seluruh dunia. Ini termasuk inovasi kewangan dan kerja-kerja perintisan, kepimpinan cemerlang, penerimaan dan pengiktirafan dalam industri, dan inspirasi serta pengaruh ke arah kemajuan dan pembangunan kewangan Islam pada masa depan.

Penerima Anugerah merupakan suri teladan yang akan menjadi inspirasi kepada individu lain untuk menyumbang kepada kemajuan industri perkhidmatan kewangan Islam. Penerima Anugerah Diraja Kewangan Islam pada tahun 2016 ialah Profesor Datuk Dr Rifaat Ahmed Abdel Karim, yang memainkan peranan penting dalam penubuhan dua badan penetapan piawaian antarabangsa - Pertubuhan Perakaunan dan Pengauditan bagi Institusi Kewangan Islam (AAOIFI) dan Lembaga Perkhidmatan Kewangan Islam (IFSB).

Tarikh tutup pencalonan ialah pada 31 Mac 2018. Individu atau pihak yang berminat boleh mengemukakan pencalonan mereka secara dalam talian melalui laman sesawang http://www.theroyalaward.com atau e-mel kepada RAIFSecretariat@seccom.com.my.

BANK NEGARA MALAYSIA & SURUHANJAYA SEKURITI MALAYSIA

 

NOTA KEPADA EDITOR

Mengenai Pasaran Kewangan Islam Malaysia

Sejak diperkenalkan lebih 30 tahun lalu, kewangan Islam di Malaysia telah berkembang sebagai sebuah pasaran kewangan Islam yang komprehensif dan sofistikated. Pasaran tersebut mempunyai ciri-ciri kawal selia, pengawasan, rangka kerja Syariah dan perundangan yang mantap, pasaran utama yang luas dan pasaran sekunder sukuk yang aktif, pelbagai penggiat industri dan pangkalan bakat dengan keupayaan global dan hubung kait dengan urusan perniagaan di serata dunia, inovasi produk, jangkauan dan kedalaman serta sistem penyelesaian dan penjelasan pelbagai mata wang yang efisien. Pasaran kewangan Malaysia terbuka kepada penggiat industri global dan peserta pasaran untuk bekerjasama dan meraih manfaat bersama daripada persekitaran perniagaan berinovasi, kepakaran dan proses urus niaga yang sangat kondusif.

Pasaran kami merupakan sebuah ekosistem kewangan Islam yang menyeluruh dan persekitaran perniagaan bagi infrastruktur, inovasi, kepakaran dan aliran urus niaga, yang dikendalikan oleh Komuniti Pusat Kewangan Islam Antarabangsa Malaysia (MIFC), yang terdiri daripada institusi kewangan, firma profesional, pengawal selia dan agensi kerajaan.

Untuk maklumat lanjut mengenai pasaran kewangan Islam Malaysia, sila layari www.mifc.com, ikuti kami di @MalaysiaIF dan muat turun MYIF app di Apple Store dan Google Play.

 

Mengenai Bank Negara Malaysia

Bank Negara Malaysia (BNM) ditubuhkan pada tahun 1959, bawah Akta Bank Negara Malaysia 1958 (semakan semula pada tahun 2009). Bank pusat ini pada dasarnya dipertanggungjawabkan untuk mengekalkan kestabilan monetari dan kewangan dan mengawasi sistem pembayaran di negara ini.

Sehingga kini, BNM telah memberikan sumbangan penting terhadap pembangunan sektor kewangan yang menyeluruh, cekap dan berdaya tahan, yang berupaya memenuhi keperluan para pengguna dan perniagaan yang lebih canggih. Sektor kewangan Malaysia kini merangkumi kedua-dua perkhidmatan kewangan konvensional dan Islam.

Berdasarkan kelebihan berbanding dalam kewangan Islam yang ada pada Malaysia, BNM telah menerajui usaha mempromosikan Malaysia sebagai sebuah Pusat Kewangan Islam Antarabangsa. Dalam konteks inisiatif ini, BNM meluluskan lesen bagi penubuhan Bank Islam Antarabangsa dan Pengusaha Takaful Antarabangsa, serta memberikan tumpuan pada pembinaan institusi termasuk penubuhan Pusat Pendidikan Kewangan Islam Antarabangsa (INCEIF) dan Akademi Penyelidikan Syariah bagi Kewangan Islam Antarabangsa (ISRA) dalam menggalakkan latihan, pendidikan dan penyelidikan untuk memajukan pembangunan tenaga mahir bagi industri perkhidmatan kewangan Islam. Dalam pada itu, Majlis Penasihat Syariah BNM memastikan penggunaan prinsip-prinsip Syariah ke atas perkhidmatan kewangan Islam oleh penyedia di bawah bidang kuasa BNM dan bertindak sebagai penasihat kepada BNM mengenai perkara-perkara berkaitan Syariah bagi perkhidmatan berkenaan. 

Layari www.bnm.gov.my untuk maklumat lanjut.

 

Mengenai Suruhanjaya Sekuriti Malaysia

Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC), yang ditubuhkan di bawah Akta Suruhanjaya Sekuriti 1993, ialah sebuah badan statutori yang melapor kepada Menteri Kewangan, Malaysia. Badan ini merupakan satu-satunya agensi kawal selia bagi pengawalseliaan dan pembangunan pasaran modal. SC mempunyai tanggungjawab secara langsung bagi menyelia dan memantau aktiviti institusi pasaran termasuk bursa dan rumah penjelasan, serta orang yang dilesenkan di bawah Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007. Maklumat lanjut mengenai SC boleh didapati melalui laman sesawang www.sc.com.my. Ikuti SC melalui twitter di @SecComMy untuk maklumat terkini.

 

© Bank Negara Malaysia, 2018. All rights reserved.