Cetak       Kongsi


Bekalan Mata Wang yang Mencukupi oleh Pengurup Wang Berlesen

No Ruj : 01/18/12 30 Jan 2018 Embargo : Untuk Siaran Segera    

Bank Negara Malaysia (Bank) ingin memberikan jaminan kepada orang ramai bahawa insiden kecurian mata wang yang dilaporkan dalam media tidak menjejaskan bekalan keseluruhan mata wang oleh pengurup wang berlesen bagi memenuhi permintaan orang ramai. Pengguna boleh terus mendapatkan dan menukarkan mata wang asing dengan pengurup wang berlesen yang terdapat di seluruh negara. 

Pengurup wang dan pemborong mata wang yang terjejas telah membuat laporan polis dan kes ini kini dalam siasatan Polis Diraja Malaysia. Bank secara berasingan sedang membuat pemeriksaan secara bebas berhubung dengan insiden tersebut untuk menentukan sama ada terdapat apa-apa pelanggaran peraturan oleh pengurup wang dan pemborong mata wang yang terlibat. Tindakan penguatkuasaan yang sewajarnya akan diambil oleh Bank jika terdapat pelanggaran peraturan.

Bank terus memantau dengan rapi keberkesanan kawalan dan langkah pengurangan risiko yang dilaksanakan oleh perniagaan perkhidmatan wang berlesen bagi memastikan penyediaan perkhidmatan penukaran mata wang yang cekap dan boleh dipercayai. Banyak syarikat perkhidmatan wang kini memanfaatkan teknologi untuk meningkatkan kawalan, menambah baik penyampaian perkhidmatan dan mengurangkan kebergantungan pada mata wang fizikal dalam pengendalian dan operasi penukaran mata wang secara keseluruhan. Perkembangan ini akan meminimumkan lagi risiko gangguan kepada perkhidmatan penukaran mata wang.

Bank Negara Malaysia
30 Jan 2018

© Bank Negara Malaysia, 2018. All rights reserved.