Cetak       Kongsi


“Navigating the Affordable Housing Market in Urban Cities”

No Ruj : 02/18/04 12 Feb 2018 Embargo : Untuk Siaran Segera    

Bank Negara Malaysia (BNM) dengan kerjasama World Bank Group hari ini menganjurkan ‘Networking Event on Navigating the Affordable Housing Market in Urban Cities’ di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur. 
 
Acara ini diadakan bersempena dengan World Urban Forum 9, iaitu persidangan mengenai isu-isu bandar. Forum ini bertujuan menyediakan platform untuk berkongsi pendapat mengenai bagaimana negara-negara di dunia berjaya mengurangkan jurang rumah mampu milik. Sesi ini turut membincangkan mengenai perlunya untuk mengkaji semula dasar pasaran rumah di Malaysia. 
 
Puan Norzila Abdul Aziz, Penolong Gabenor Bank Negara Malaysia dan Encik Faris H. Hadad-Zervos, Pengurus Cawangan Malaysia dari World Bank Group menyampaikan ucaptama.
 
Encik Rohan Padmanathan, Pengarah Eksekutif Jones Lang Wootton, menjadi moderator dalam perbincangan panel yang terdiri daripada pakar-pakar antarabangsa dalam isu rumah mampu milik termasuk wakil daripada World Bank Group, Dr. Sameh Wahba, Pengarah Global, Sosial, Luar Bandar, Bandar dan Amalan Global Berdaya Tahan; dan Cik Dao Harrison, Pakar Perumahan Kanan dalam Pengurusan Bandar dan Risiko Bencana, serta Encik Samma Kitsin, mantan Ketua Pengarah Pusat Maklumat Harta Tanah di Thailand, dan Encik Claude Taffin, Perunding Kanan dari Perancis yang mempunyai kepakaran dalam Dasar Perumahan Sosial.
 
Rumah mampu milik merupakan kebimbangan global yang dihadapi bandar-bandar utama di dunia. Pada tahun 2014, dianggarkan 330 juta isi rumah di seluruh dunia mendiami rumah yang substandard atau terbeban dari segi kewangan akibat menanggung kos rumah. Di Malaysia, pertumbuhan perbandaran dan penduduk telah menyumbang kepada kekurangan bekalan rumah mampu milik.
 
Dalam usaha untuk menggalakkan perbandaran yang mampan, agenda utama kebanyakan bandar di seluruh dunia adalah untuk memastikan rumah mampu dimiliki oleh orang ramai. Ahli panel bertukar-tukar pendapat dan berbincang mengenai cara kreatif untuk menangani kekangan yang  menghalang pembangunan perumahan mampu milik, dengan tumpuan diberikan pada:

(i)    Peranan pihak berkuasa perumahan pusat dalam menyelaras agensi-agensi kerajaan yang berkaitan dengan perumahan pada peringkat persekutuan, negeri dan tempatan untuk menyediakan dasar dan inisiatif perumahan. Ini termasuk mencapai keseimbangan dasar dari segi penawaran dan permintaan melalui inisiatif kerajaan yang dirancang dengan baik dan bersasaran.

(ii)  Bagaimana negara-negara memanfaatkan teknologi dan pangkalan data yang bersepadu bagi memastikan penggubalan data yang berkesan. Perkara yang dibincangkan termasuk pertimbangan kepentingan pangkalan data pasaran perumahan yang boleh dipercayai serta peranan Big Data dan teknologi lain apabila membangunkan dasar perumahan mampu milik. 

(iii)Peranan pasaran sewa rumah pada kadar yang mampu sebagai alternatif kepada pemilikan rumah. Perbincangan mengenai langkah-langkah untuk membangunkan pasaran sewa rumah termasuk perlunya rangka kerja pengawalseliaan yang wajar dan subsidi kerajaan yang berkesan. Perbincangan tersebut turut membandingkan model sewaan dan amalan terbaik antarabangsa yang berbeza.

Perbincangan-perbincangan ini akan memberikan laluan kepada cadangan penyelesaian yang mantap bagi menangani isu perumahan yang menjejaskan masyarakat bandar.
 

Bank Negara Malaysia
12 Feb 2018

© Bank Negara Malaysia, 2018. All rights reserved.