Cetak       Kongsi


Insiden Keselamatan Siber Menggunakan Mesej SWIFT Palsu

No Ruj : 03/18/09 29 Mar 2018 Embargo : Untuk Siaran Segera    

Pada 27 Mac 2018, Bank Negara Malaysia telah berjaya mengesan dan menangkis satu insiden keselamatan siber yang melibatkan percubaan untuk memindahkan dana secara haram menggunakan sistem mesej SWIFT palsu. Kesemua transaksi yang cuba dijalankan telah berjaya disekat menerusi tindakan pantas Bank Negara Malaysia (Bank) dengan kerjasama SWIFT, bank-bank pusat dan institusi kewangan lain.

Bank tidak mengalami apa-apa kerugian kewangan berikutan insiden ini. Malah, sistem pembayaran dan penyelesaian lain yang dikendalikan Bank juga tidak terjejas sama sekali.

Bank sedang menjalankan siasatan secara terperinci mengenai insiden ini dengan mendapat kerjasama agensi penguatkuasaan tempatan dan antarabangsa.

Bank juga ingin memaklumkan bahawa semua langkah kawalan risiko yang ada setakat ini sangat berkesan untuk menghalang insiden seumpama itu daripada berulang. Walau bagaimanapun, Bank tetap mengambil langkah-langkah keselamatan tambahan untuk melindungi pihak berkepentingan. Bank juga akan terus berada dalam keadaan berjaga-jaga dan senantiasa bersiap sedia, kerana insiden pada masa hadapan mungkin melibatkan perancangan dan pendekatan yang lebih sofistikated.

Institusi kewangan juga dinasihati supaya senantiasa berwaspada dalam menghadapi risiko keselamatan siber dan terus mengukuhkan sistem keselamatan masing-masing bagi menghadapi ancaman pencerobohan seperti ini.

Bank ingin meyakinkan orang ramai bahawa sistem pembayaran dan penyelesaian kita kekal tidak terjejas dan terus beroperasi dalam keadaan baik dan selamat.

Bank Negara Malaysia
29 Mar 2018

© Bank Negara Malaysia, 2018. All rights reserved.