Cetak       Kongsi


Maklum balas terhadap Rencana Sinar Harian bertajuk "Cepat laksana gaji cukup hidup"

No Ruj : 06 Apr 2018 Embargo : Untuk Siaran Segera    

Bank Negara Malaysia (BNM) merujuk rencana bertajuk "Cepat laksana gaji cukup hidup" yang disiarkan dalam Sinar Harian pada 4 April 2018.

Rumusan yang dibuat berdasarkan analisis BNM mengenai gaji kehidupan wajar (living wage) bahawa rakyat Malaysia berada dalam kemiskinan adalah tidak tepat. Konsep itu perlu difahami dengan mendalam supaya apa-apa komen yang berkaitan tidak tersasar dan menimbulkan kekeliruan kepada pembaca.

Gaji kehidupan wajar merupakan tanda aras bagi pendapatan yang diperlukan untuk menikmati taraf hidup minimum yang boleh diterima. Ini bukanlah tanda aras untuk menilai tahap kemiskinan. Di samping memenuhi keperluan asas, gaji kehidupan wajar juga membolehkan rakyat Malaysia berinteraksi dalam masyarakat secara bermakna, memberi peluang untuk membangunkan diri dan keluarga, dan bebas daripada tekanan kewangan yang teruk.

Gaji kehidupan wajar berperanan sebagai panduan kepada majikan untuk mempertimbangkan agar pekerja dibayar gaji mengikut keperluan taraf hidup minimum yang boleh diterima. Gaji kehidupan wajar tidak menggantikan gaji minimum semasa yang masih relevan iaitu sebanyak RM920 sehingga RM1,000. Gaji minimum adalah satu keperluan berkanun dan bertujuan menampung keperluan asas isi rumah.

Keupayaan membayar gaji kehidupan wajar perlu dinilai dengan mengambil kira produktiviti pekerja, untuk mengelakkan peningkatan kos yang tidak sepatutnya yang mungkin mendorong kepada kenaikan inflasi.

Bank Negara Malaysia
06 Apr 2018

© Bank Negara Malaysia, 2018. All rights reserved.