Cetak       Kongsi


Pernyataan Dasar Monetari

No Ruj : 05/18/03 10 May 2018 Embargo : Tidak boleh disiarkan atau dicetak sebelum jam1500 pada hari Khamis 10 Mei 2018

Mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) Bank Negara Malaysia hari ini membuat keputusan untuk mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada 3.25 peratus.

Ekonomi global terus kukuh berikutan pertumbuhan yang lebih menyeluruh dan segerak merentas rantau. Momentum pertumbuhan perdagangan global kekal kukuh. Dalam ekonomi maju, peningkatan upah dan lebihan kapasiti pasaran pekerja yang semakin mengecil terus memberi sokongan kepada pertumbuhan. Sokongan dasar tambahan, khususnya di Amerika Syarikat, dijangka terus meningkatkan pertumbuhan. Di Asia, pertumbuhan akan didorong oleh aktiviti domestik yang mampan dan permintaan luar negeri yang kukuh. Pasaran kewangan terus menghadapi volatiliti yang bersifat sementara dalam keadaan ketegangan perdagangan yang semakin meningkat. Prospek pertumbuhan global terus seimbang, meskipun terdapat risiko sekiranya ketegangan perdagangan dan geo-politik menjadi bertambah buruk.

Bagi Malaysia, penunjuk ekonomi terkini menjurus kepada pengembangan aktiviti sektor swasta dan eksport yang berterusan. Pada masa hadapan, momentum pertumbuhan positif dijangka dapat dikekalkan, didorong oleh kekukuhan permintaan dalam dan luar negeri. Penggunaan swasta akan disokong oleh keadaan pendapatan dan pasaran pekerja yang menggalakkan. Aktiviti pelaburan dijangka terus kukuh, disokong oleh projek infrastruktur yang sedang dalam pelaksanaan dan pengembangan kapasiti oleh firma. Di sektor luaran, eksport dijangka terus mendapat manfaat daripada momentum pertumbuhan global dan perdagangan di negara maju serta serantau yang positif. Secara keseluruhan, prospek bagi ekonomi Malaysia kekal kukuh.

Inflasi keseluruhan dijangka kekal sederhana pada keseluruhan tahun ini, dengan jangkaan kesan yang lebih kecil daripada faktor kos global. Kadar pertukaran ringgit yang bertambah kukuh berbanding dengan 2017 akan mengurangkan kos import. Walau bagaimanapun, trajektori inflasi keseluruhan akan bergantung pada harga minyak dunia yang masih amat tidak menentu. Inflasi asas, seperti yang diukur oleh inflasi teras, dijangka kekal sederhana dalam keadaan permintaan yang stabil.

Walaupun terdapat volatiliti pasaran kewangan yang disebabkan oleh perkembangan luar negeri, pasaran kewangan domestik kekal berdaya tahan. Asas-asas ekonomi Malaysia adalah sangat teguh. Prospek ekonomi domestik kekal positif, sektor kewangan kukuh dan keadaan monetari dan kewangan menyokong pertumbuhan ekonomi dalam persekitaran pascapilihan raya.

Pada kadar semasa OPR, tahap akomodatif dasar monetari adalah sejajar dengan pendirian dasar untuk memastikan pertumbuhan ekonomi dalam negeri terus berada pada landasan pertumbuhan yang mantap dalam keadaan inflasi yang lebih rendah. MPC akan terus memantau dan menilai imbangan risiko berhubung dengan prospek pertumbuhan domestik dan inflasi.

Bank Negara Malaysia
10 May 2018

© Bank Negara Malaysia, 2018. All rights reserved.