Print       Share


Memartabatkan Penggunaan Bahasa Kebangsaan dalam Sektor Kewangan

Ref No : 07/18/03 11 Jul 2018 Embargo : For immediate release    

Sekretariat Gerakan Bahasa Kebangsaan Sektor Kewangan Bank Negara Malaysia terus melaksanakan daya usaha untuk meningkatkan dan menggalakkan penggunaan Bahasa Kebangsaan dalam industri kewangan. Usaha ini adalah sejajar dengan inisiatif rangkuman kewangan Bank Negara Malaysia dan bertujuan untuk meningkatkan kesedaran tentang perkara-perkara yang berkaitan dengan pengguna kewangan. Bank Negara Malaysia bersama-sama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) baru-baru ini telah menganjurkan Pertandingan Pidato Antara Institusi Kewangan Piala Gabenor Bank Negara Malaysia (Pertandingan Pidato Piala Gabenor) yang ke-10.

Pertandingan Pidato Piala Gabenor bertujuan untuk meningkatkan pemahaman masyarakat tentang dasar dan inisiatif Bank dalam sektor kewangan, seperti yang tergambar pada tajuk pidato tentang ekonomi digital; perumahan mampu milik; Insurans Perlindungan Tenang; Kewangan Islam; ancaman siber dalam industri kewangan; dan mata wang digital. Tajuk yang paling popular tahun ini ialah Hemat Berbelanja Keluarga Sejahtera; Rumah Mampu Milik: Isu dan Penyelesaian dan Masyarakat Tanpa Tunai: Peranan Institusi Kewangan dan Penerimaan Orang Ramai.

Pada tahun ini, Muhamad Yusof Sulaiman daripada Sun Life Malaysia Assurance Berhad telah muncul sebagai juara peringkat akhir Pertandingan Pidato Piala Gabenor yang diadakan pada 5 Julai 2018. Ahmad Safiuddin Nordin daripada AmBank (M) Berhad dan Fartihah Nabilla Harun daripada CIMB Bank Berhad masing-masing meraih tempat kedua dan ketiga. Secara keseluruhan, 83 peserta daripada bank tempatan dan asing, institusi kewangan pembangunan dan syarikat insurans dan takaful telah mengambil bahagian dalam pertandingan kali ini. Pemenang tempat pertama menerima hadiah wang tunai sebanyak RM5000, manakala naib johan dan pemenang tempat ketiga masing-masing menerima wang tunai sebanyak RM3000 dan RM2000. Di samping itu, mereka juga membawa pulang piala, sijil penyertaan dan buku-buku yang diterbitkan oleh DBP.

Pertandingan Pidato Piala Gabenor terbuka kepada semua kakitangan institusi kewangan. Bank Negara Malaysia mengalu-alukan penyertaan enam institusi kewangan asing tahun ini. Sejak mula diadakan, Bank telah berjaya mencungkil bakat kira-kira 550 peserta daripada lebih 30 institusi kewangan.
 

Bank Negara Malaysia
12 Jul 2018

© Bank Negara Malaysia, 2018. All rights reserved.