Cetak       Kongsi


Penambahbaikan Dasar Pentadbiran Pertukaran Asing

No Ruj : 08/18/06 17 Aug 2018 Embargo : Tidak boleh disiarkan atau dicetak sebelum jam1200 pada hari Jumaat 17 Ogos 2018

Bank Negara Malaysia ingin mengumumkan perubahan dalam dasar pentadbiran pertukaran asing yang bertujuan untuk meningkatkan kecekapan operasi dan pengurusan risiko oleh sektor perniagaan dan institusi kewangan.

Perubahan yang akan berkuat kuasa serta-merta ini adalah seperti yang berikut:

  1. Fleksibiliti yang lebih besar bagi pengurusan hasil eksport

    Pengeksport dibenarkan untuk memasukkan hasil eksport mereka secara automatik ke dalam Akaun Semasa Perdagangan Asing dengan bank tempatan untuk memenuhi obligasi mata wang asing sehingga 6 bulan tanpa perlu menukarkan dahulu hasil eksport berkenaan kepada nilai ringgit. Fleksibiliti ini diberikan apabila pengeksport telah mengemukakan obligasi mata wang asing 6 bulan kepada bank tempatan masing-masing.

  2. Perlindungan nilai yang fleksibel bagi obligasi mata wang asing

    Fleksibiliti yang lebih besar diberi kepada pemastautin yang membuat permohonan kepada Bank untuk melindung nilai:

    • obligasi mata wang asing melebihi 6 bulan; dan
    • dedahan terhadap mata wang asing daripada invois yang dikeluarkan dalam mata wang asing, di bawah amalan penetapan harga antarabangsa bagi perdagangan barangan dan perkhidmatan dalam negeri.
  3. Akses yang lebih luas kepada pasaran kewangan dalam negeri bagi bukan  pemastautin

    Bukan pemastautin dibenarkan untuk menjalankan urus niaga derivatif kadar faedah dalam denominasi ringgit melalui Pejabat Luar Negara Yang Dilantik (Appointed Overseas Offices, AOO) oleh bank tempatan berlesen, tertakluk kepada pengaturan “back-to-back” (nilai yang setara bagi kedua-dua mata wang) dengan bank tempatan berlesen. Hal ini bertujuan untuk memperdalam pasaran derivatif kadar faedah dalam negeri bagi menyokong pengurusan risiko oleh sektor perniagaan.

Butiran lanjut mengenai langkah-langkah ini terdapat dalam Notis Tambahan No. 4 Peraturan Pentadbiran Pertukaran Asing yang diterbitkan oleh Bank.

Lihat juga : Soalan lazim

Bank Negara Malaysia
17 Aug 2018

© Bank Negara Malaysia, 2018. All rights reserved.