Print       Share


Anugerah Kecemerlangan dalam Kewangan Islam: Penerima Anugerah Diraja 2018, Tan Sri Dr. Zeti Akhtar Aziz

Ref No : 03 Oct 2018 Embargo : For immediate release    

Duli Yang Teramat Mulia Sultan Nazrin Muizzuddin Shah, Sultan Perak dan Penaung Diraja untuk inisiatif Kewangan Islam Malaysia mengurniakan Anugerah Diraja bagi Kewangan Islam 2018 (Anugerah Diraja) kepada Tan Sri Dr. Zeti Akhtar Aziz. Majlis penyampaian anugerah itu diadakan bersempena dengan Forum Kewangan Islam Global 2018 (GIFF 2018) yang berlangsung di Kuala Lumpur hari ini.

Tan Sri Dr. Zeti Akhtar Aziz menerima anugerah berprestij ini kerana pencapaian dan kepemimpinan beliau yang cemerlang sehingga kewangan Islam mencapai tahap yang lebih tinggi dalam arena kewangan domestik dan global. Sepanjang tempoh beliau sebagai Gabenor Bank Negara Malaysia, beliau telah memainkan peranan penting dalam:

  •  Memacu industri kewangan Islam pada peringkat antarabangsa dan mengukuhkan hubungan sistem kewangan Islam domestik dengan pusat kewangan lain dalam sistem kewangan antarabangsa. Usaha ini dicapai melalui pembangunan pasaran kewangan domestik, liberalisasi sistem kewangan Islam domestik yang lebih meluas dan dorongan kewangan Islam pada peringkat kewangan global;
  • Mengarusperdanakan kewangan Islam domestik dalam sistem kewangan global sehingga mendapat penerimaan dan pengiktirafan antarabangsa yang semakin meluas. Usaha ini telah disokong oleh penubuhan badan penetapan piawaian antarabangsa dan infrastruktur pengurusan mudah tunai yang telah mendapat pengiktirafan global; dan
  • Memanfaatkan tenaga mahir profesional dan kompeten menerusi pembangunan ekosistem tenaga mahir yang komprehensif untuk kewangan Islam. Usaha ini merangkumi penubuhan Pusat Pendidikan Kewangan Islam Antarabangsa (INCEIF) dan Akademi Penyelidikan Syariah Antarabangsa dalam Kewangan Islam (ISRA).

"Ini merupakan suatu penghormatan yang tinggi buat saya sebagai penerima Anugerah Diraja bagi Kewangan Islam 2018. Saya berasa begitu bertuah kerana dapat bersama-sama terlibat secara langsung dalam arus pembangunan kewangan Islam global. Walau bagaimanapun, penghormatan ini juga merupakan pengiktirafan kepada semua pihak yang telah terlibat bersama-sama saya dalam menjayakan usaha yang murni ini. Saya dengan rasa penuh kesyukuran menerima pengiktirafan ini bagi pihak mereka. Industri kewangan Islam telah mencatat pertumbuhan dan perkembangan yang belum pernah dicapai dalam tiga dekad kebelakangan ini. Industri ini juga merupakan industri yang dinamik dan berkembang untuk memenuhi keperluan ekonomi moden yang pantas berubah. Bagi meneruskan usaha ini, kini kita perlu menceburi pula bidang baharu untuk memberikan nilai yang lebih besar kepada ekonomi, masyarakat dan alam sekitar," kata Tan Sri Dr. Zeti.

Mengulas mengenai penerima Anugerah Diraja itu, Pengerusi Juri Tun Musa Hitam berkata, "Juri telah menjalankan proses pemilihan yang sangat ketat dan rapi berdasarkan merit dan pencapaian setiap calon sebelum memuktamadkan keputusan. Tan Sri Dr. Zeti mendapat pengiktirafan meluas kerana peranan yang dimainkan oleh beliau dalam kemajuan kewangan Islam global. Sumbangan, dedikasi dan kepemimpinan Tan Sri Dr. Zeti dalam pembangunan industri kewangan Islam menjadi inspirasi untuk generasi yang akan datang."

Anugerah Diraja yang diwujudkan pada tahun 2010 merupakan anugerah dwitahunan anjuran bersama Bank Negara Malaysia dan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia di bawah inisiatif Pusat Kewangan Islam Antarabangsa Malaysia (MIFC). Anugerah ini adalah untuk mengiktiraf dan memberi penghormatan kepada individu-individu dalam memajukan kewangan Islam di seluruh dunia menerusi sumbangan dan pencapaian mereka yang cemerlang.

Penerima Anugerah Diraja sebelum ini ialah Profesor Datuk Dr. Rifaat Ahmed Abdel Karim, Ketua Pegawai Eksekutif Pasaran Modal Sudan (2016); Dato' Dr. Abdul Halim Ismail, pengasas bank Islam pertama Malaysia (2014); Encik Iqbal Khan, Ketua Pegawai Eksekutif Fajr Capital (2012); dan Shaikh Saleh Abdullah Kamel, pengasas Kumpulan Dallah al Baraka (2010). Anugerah Diraja pada tahun 2010 juga mengiktiraf Allahyarham Dr. Ahmad El-Naggar yang sering disebut sebagai 'Bapa Perbankan Islam Moden', suatu gelaran ulung sebagai penghormatan buat Allahyarham.

Ahli Komuniti:


Ahli-ahli Media boleh menghubungi Pasukan Media:
(i) Roziah Mohd. Hanifa di 03-26988044 ext. 7773,
(ii) Nurhaizi Anis Ahmad di 03-26988044 ext. 8843,
(iii) Mohd Nazrul Hafizi Md Jaffar di 03-26988044 ext. 8491,
Atau faks kepada: 03-26943724

NOTA KEPADA EDITOR

Mengenai Pasaran Kewangan Islam Malaysia

Sejak diperkenalkan lebih 30 tahun lalu, kewangan Islam di Malaysia telah berkembang sebagai sebuah pasaran kewangan Islam yang komprehensif dan sofistikated. Pasaran tersebut mempunyai ciri-ciri kawal selia, pengawasan, rangka kerja Syariah dan perundangan yang mantap, pasaran utama yang luas dan pasaran sekunder sukuk yang aktif, pelbagai penggiat industri dan pangkalan bakat dengan keupayaan global dan hubung kait dengan urusan perniagaan di serata dunia, inovasi produk, jangkauan dan kedalaman serta sistem penyelesaian dan penjelasan pelbagai mata wang yang efisien. Pasaran kewangan Malaysia terbuka kepada penggiat industri global dan peserta pasaran untuk bekerjasama dan meraih manfaat bersama daripada persekitaran perniagaan berinovasi, kepakaran dan proses urus niaga yang sangat kondusif.

Pasaran kami merupakan sebuah ekosistem kewangan Islam yang menyeluruh dan persekitaran perniagaan bagi infrastruktur, inovasi, kepakaran dan aliran urus niaga, yang dikendalikan oleh Komuniti Pusat Kewangan Islam Antarabangsa Malaysia (MIFC), yang terdiri daripada institusi kewangan, firma profesional, pengawal selia dan agensi kerajaan.

Untuk maklumat lanjut mengenai pasaran kewangan Islam Malaysia, sila layari www.mifc.com, ikuti kami di @MalaysiaIF dan muat turun MYIF app di Apple Store dan Google Play.

Mengenai Bank Negara Malaysia

Bank Negara Malaysia ialah sebuah badan berkanun yang diberi mandat untuk menggalakkan kestabilan monetari dan kewangan bagi mewujudkan persekitaran yang kondusif untuk pertumbuhan ekonomi Malaysia yang mampan. Fungsi Bank Negara Malaysia termasuk mengawal selia institusi kewangan dan memantau infrastruktur sistem pembayaran negara.

Layari www.bnm.gov.my untuk maklumat lanjut.

Mengenai Suruhanjaya Sekuriti Malaysia

Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC), yang ditubuhkan di bawah Akta Suruhanjaya Sekuriti 1993, ialah sebuah badan statutori yang melapor kepada Menteri Kewangan, Malaysia. Badan ini merupakan satu-satunya agensi kawal selia bagi pengawalseliaan dan pembangunan pasaran modal. SC mempunyai tanggungjawab secara langsung bagi menyelia dan memantau aktiviti institusi pasaran termasuk bursa dan rumah penjelasan, serta orang yang dilesenkan di bawah Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007. Maklumat lanjut mengenai SC boleh didapati melalui laman sesawang www.sc.com.my. Ikuti SC melalui twitter di @SecComMy untuk maklumat terkini.

Tan Sri Dr. Zeti Akhtar Aziz receiving the Royal Award for Islamic Finance from His Royal Highness Sultan Nazrin Muizzuddin Shah, the Sultan of Perak and the Royal Patron for Malaysia's Islamic Finance.

Bank Negara Malaysia
03 Oct 2018

© Bank Negara Malaysia, 2018. All rights reserved.