Cetak       Kongsi


Langkah-langkah Khas Bank Negara Malaysia untuk Rumah Mampu Milik

No Ruj : 11/18/01 02 Nov 2018 Embargo : Untuk Siaran Segera    

Bank Negara Malaysia (BNM) mengumumkan penubuhan Dana Rumah Mampu Milik (Dana) berjumlah RM1 bilion untuk membantu pembeli rumah daripada kumpulan berpendapatan rendah di seluruh negara bagi membiayai pembelian rumah pertama mereka. Dana ini akan tersedia selama dua tahun mulai 2 Januari 2019 atau sehingga dana RM1 bilion itu habis digunakan.

Di bawah Dana ini, pembeli rumah yang layak boleh mendapatkan pembiayaan (konvensional atau Islam) pada kadar konsesi di institusi kewangan yang mengambil bahagian.

Kriteria dan ciri-ciri Dana BNM bagi Rumah Mampu Milik ialah:

  • Layak dipohon oleh warganegara Malaysia dengan pendapatan maksimum bulanan isi rumah sebanyak RM2,300;
  • Harga harta tanah adalah sehingga RM150,000;
  • Kadar pembiayaan adalah sehingga 3.5% setahun; dan
  • Institusi kewangan yang mengambil bahagian ialah AmBank, Bank Simpanan Nasional, CIMB Bank, Maybank dan RHB Bank.

Memiliki rumah merupakan pelaburan atau komitmen utama bagi kebanyakan orang. Oleh itu, bakal pembeli rumah perlu menilai kemampuan mereka bagi memenuhi komitmen kewangan yang berkaitan dengan memiliki rumah, termasuk bayaran balik gadai janji dan perbelanjaan lain yang berkaitan. Bagi membantu pembeli rumah pertama kali ini, modul pendidikan kewangan dalam talian yang ringkas dan mudah akan disediakan oleh Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) untuk pembeli rumah yang memohon pembiayaan di bawah Dana ini.

Orang ramai boleh menghubungi institusi kewangan yang mengambil bahagian untuk mendapatkan maklumat lanjut.

Langkah-langkah lain untuk membantu isi rumah berpendapatan rendah, pembeli rumah pertama kali

Pelancaran Dana akan dilengkapi dengan pelbagai langkah untuk membantu pembeli rumah yang pendapatan bulanan RM5,000 dan ke bawah membeli rumah pertama mereka yang berharga sehingga RM300,000. Langkah-langkah yang dijalankan untuk pembiayaan rumah yang layak daripada semua institusi kewangan ini adalah bertujuan untuk mengurangkan kos sampingan pemilikan rumah bagi peminjam yang berkelayakan. Langkah-langkah tersebut termasuk pengecualian duti setem, kadar yang berpatutan untuk jumlah perlindungan gadai janji dan pelepasan yuran guaman bagi perjanjian jual beli dan pembiayaan.

Lihat juga: Ciri-ciri Dana BNM untuk Rumah Mampu Milik

Bank Negara Malaysia
02 Nov 2018

© Bank Negara Malaysia, 2018. All rights reserved.