Print       Share


Pernyataan Dasar Monetari

Ref No : 11/18/03 08 Nov 2018 Embargo : Not for publication or broadcast before 1500 hours on Thursday 08 November 2018

 Mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) Bank Negara Malaysia hari ini membuat keputusan untuk mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada 3.25 peratus.

Ekonomi global terus berkembang, walaupun dengan tanda-tanda menunjukkan momentum yang semakin sederhana. Di negara ekonomi maju, pertumbuhan akan terus didorong terutamanya oleh keadaan pasaran pekerja yang positif dan sokongan dasar-dasar yang dilaksanakan. Pertumbuhan di Asia akan disokong oleh aktiviti dalam negeri dalam keadaan permintaan luaran yang semakin lemah. Risiko kepada prospek pertumbuhan global terus meningkat, dengan ketegangan perdagangan terus menjadi punca utama risiko pertumbuhan yang lebih perlahan. Volatiliti dalam pasaran kewangan antarabangsa yang semakin ketara dan langkah mengembalikan dasar monetari ke tahap yang wajar oleh negara-negara maju boleh mengakibatkan aliran keluar modal yang berterusan dan pelarasan pasaran kewangan dalam kalangan ekonomi sedang pesat membangun. 

Bagi Malaysia, penunjuk ekonomi terkini menunjukkan pengembangan yang berterusan dalam aktiviti sektor swasta. Penggunaan swasta akan terus menjadi pemacu utama pertumbuhan, disokong oleh keadaan pasaran pekerja yang kondusif. Aktiviti pelaburan dijangka terus mampan didorong oleh pengembangan berterusan kapasiti pengeluaran dalam sektor-sektor utama yang didorong oleh permintaan yang menggalakkan serta usaha-usaha untuk meningkatkan automasi. Perbelanjaan sektor awam, bagaimanapun, dijangka memberikan kesan terhadap pertumbuhan, sehubungan dengan langkah-langkah Kerajaan untuk menyusun semula perbelanjaanya mengikut keutamaan. Pengumuman yang dibuat oleh Kerajaan baru-baru ini telah menjelaskan dengan lebih terperinci tentang dasar fiskal dan pembangunan ekonomi. Bagi sektor luaran, eksport dijangka memberi dorongan tambahan kepada pertumbuhan, walaupun pada tahap yang lebih rendah, disebabkan oleh momentum pertumbuhan global yang semakin sederhana. Ekonomi dalam negeri terus menghadapi risiko pertumbuhan yang lebih perlahan berikutan ketegangan perdagangan yang terus meruncing dan kelemahan yang berpanjangan dalam sektor perlombongan dan pertanian. Walau bagaimanapun, secara keseluruhan, ekonomi Malaysia dijangka terus berada pada landasan pertumbuhan yang stabil pada tahun 2018 dan 2019.

Inflasi keseluruhan akan mencatatkan kadar purata yang rendah pada tahun 2018. Menjelang tahun 2019, inflasi keseluruhan diunjurkan meningkat disebabkan terutamanya oleh harga minyak global yang dijangka lebih tinggi dan pengapungan harga bahan api dalam negeri. Meskipun kesan dasar cukai penggunaan pada inflasi keseluruhan akan menyumbang kepada kenaikan inflasi keseluruhan pada tahun 2019, kesan itu akan luput menjelang akhir tahun tersebut. Inflasi dasar dijangka dapat dibendung dengan ketiadaan tekanan permintaan yang kukuh.

Sejajar dengan ekonomi serantau, pasaran kewangan domestik terus mengalami aliran keluar portfolio bukan pemastautin akibat perkembangan global. Walau bagaimanapun, pasaran kewangan kekal teratur dengan keadaan monetari dan kewangan domestik terus menyokong pertumbuhan ekonomi. Sektor kewangan kekal teguh dengan institusi kewangan beroperasi dengan berlandaskan penampan modal dan mudah tunai yang kukuh. Yang penting, asas-asas ekonomi dalam negeri terus mantap dengan pertumbuhan ekonomi yang kukuh, kadar pengangguran yang rendah dan lebihan akaun semasa dalam imbangan pembayaran. Operasi monetari Bank Negara Malaysia akan terus memastikan supaya mudah tunai yang mencukupi untuk menyokong pasaran wang dan pasaran pertukaran asing serta aktiviti pengantaraan supaya berfungsi dengan teratur.

Pada kadar semasa OPR, tahap akomodatif dasar monetari adalah sejajar dengan pendirian dasar yang ditetapkan. MPC akan terus memantau dan menilai imbangan risiko berhubung dengan prospek pertumbuhan domestik dan inflasi.

Mesyuarat itu juga meluluskan jadual mesyuarat MPC untuk tahun 2019. Selaras dengan Akta Bank Negara Malaysia 2009, mesyuarat MPC akan diadakan sebanyak enam kali pada tahun 2019. Mesyuarat akan diadakan selama dua hari dan Pernyataan Dasar Monetari diumumkan pada jam 3.00 petang pada hari kedua mesyuarat MPC.

Jadual Mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari bagi tahun 2019

Bil Mesyuarat MPC

Tarikh

Pertama

23 dan 24 Januari 2019 (Rabu dan Khamis)

Kedua

4 dan 5 Mac 2019 (Isnin dan Selasa)

Ketiga

6 dan 7 Mei 2019 (Isnin dan Selasa)

Keempat

8 dan 9 Julai 2019 (Isnin dan Selasa)

Kelima

11 dan 12 September 2019 (Rabu dan Khamis)

Keenam

4 dan 5 November 2019 (Isnin dan Selasa)

Bank Negara Malaysia
08 Nov 2018

© Bank Negara Malaysia, 2018. All rights reserved.