Cetak       Kongsi


Memorandum Persefahaman antara Bank Negara Malaysia dengan Dubai Financial Services Authority

No Ruj : 12/18/02 05 Dec 2018 Embargo : Untuk Siaran Segera    

Pada 28 November 2018, Bank Negara Malaysia (BNM) dan Dubai Financial Services Authority (DFSA) menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) kerjasama penyeliaan bagi penyeliaan yang berkesan terhadap institusi perbankan dan insurans/takaful/insurans semula yang beroperasi di kedua-dua negara.

MoU ini menandakan usaha yang berterusan untuk menggalakkan kestabilan kewangan di kedua-dua negara. Ia juga menyediakan asas yang kukuh untuk memajukan lagi sistem penyeliaan yang berkesan berdasarkan prinsip yang digariskan dalam Prinsip Teras Basel untuk Penyeliaan Perbankan Berkesan (Basel Core Principles for Effective Banking Supervision), Persatuan Penyelia Insurans Antarabangsa bagi Prinsip Teras Insurans (International Association of Insurance Supervision for Insurance Core Principles) dan Saranan Pasukan Petugas Tindakan Kewangan bagi Pencegahan Pengubahan Wang Haram (Financial Action Task Force Recommendations on Anti-Money Laundering).

MoU ini menggariskan kerjasama dan penyelarasan antara kedua-dua pihak berkuasa tersebut dalam bidang pertukaran maklumat, kemudahan penyeliaan di premis secara bersepadu dan merentas sempadan, pengeluaran lesen dan pembanterasan pengubahan wang haram dan pembiayaan keganasan. 

Bidang-bidang kerjasama khusus ini adalah tepat pada masanya memandangkan hubungan perdagangan dan pelaburan serantau dan antarabangsa yang terus berkembang seiring dengan peningkatan kegiatan perbankan dan insurans/takaful/insurans semula merentas sempadan di kedua-dua negara.

Bank Negara Malaysia
05 Dec 2018

© Bank Negara Malaysia, 2018. All rights reserved.