Cetak       Kongsi


Inisiatif Pembangunan untuk Meningkatkan Akses dan Mudah Tunai Pasaran

No Ruj : 15/19/03 16 May 2019 Embargo : Untuk Siaran Segera    

Bank Negara Malaysia (Bank) akan meneruskan inisiatif untuk memperluas dan memperdalam pasaran kewangan Malaysia. Sebagai sebahagian daripada inisiatif ini, Bank  kerap mengadakan perbincangan dan berinteraksi dengan  peserta pasaran untuk mengenal pasti langkah-langkah untuk menggalakkan   persekitaran pasaran yang kondusif dan cergas, yang menyokong kegiatan ekonomi dalam negeri.

Sehubungan dengan ini, Bank mengumumkan inisiatif pembangunan selanjutnya yang bertujuan untuk meningkatkan kecekapan pasaran, serta akses dan mudah tunai pasaran kewangan dalam negeri, sekali gus memastikan pasaran kewangan dalam negeri terus teratur dan telus.

  1. Peningkatan mudah tunai dan fleksibiliti pasaran repo
    Menyedari pentingnya peranan pasaran repo dalam aktiviti dagangan pasaran sekunder, Bank akan terus meningkatkan penawaran semula bon yang pernah diterbitkan (off-the-run bonds) untuk dipinjam melalui repo bagi menggerakkan aktiviti dagangan dalam pasaran. Garis panduan repo akan dikaji semula dengan sewajarnya, untuk membolehkan antara lain, pelanjutan tempoh matang repo melebihi satu tahun.
     
  2. Penghantaran secara fizikal niaga hadapan MGS
    Dalam usaha selanjutnya untuk membangunkan platform lindung nilai yang berkesan bagi pelabur, Bank bersama-sama Suruhanjaya Sekuriti Malaysia, Bursa Malaysia dan peserta utama pasaran akan terus menambah baik mekanisme penghantaran bagi penyelesaian niaga hadapan Sekuriti Kerajaan Malaysia (MGS).
     
  3. Pengembangan program lindung nilai dinamik untuk meliputi bank amanah dan kustodian global
    Program lindung nilai dinamik yang diperkenalkan pada bulan Disember 2016, menyediakan saluran kepada pelabur bukan pemastautin untuk menguruskan dedahan pertukaran asing dalam negeri mereka secara aktif. Setakat ini, program ini mempunyai 88 pelabur berdaftar yang menguruskan aset sebanyak USD30.8 bilion. Untuk mempertingkat akses dan mudah tunai pasaran, bank amanah dan kustodian global kini boleh memohon untuk menyertai program lindung nilai dinamik bagi membolehkan mereka mengambil lindung nilai dinamik bagi pihak pelanggan.
     
  4. Peningkatan fleksibiliti kepada peserta program lindung nilai dinamik untuk mengurus risiko pertukaran asing mereka
    Bagi memudahkan pengurusan risiko pertukaran asing dengan mengambil kira profil pelaburan institusi, pelabur institusi berdaftar boleh menandatangani kontrak hadapan membeli ringgit melebihi had semasa 25% (daripada aset asas) setelah mendapat kelulusan Bank Negara Malaysia. Permohonan boleh dikemukakan kepada investorregister@bnm.gov.my.
     
  5. Proses transaksi dan dokumentasi pertukaran asing yang dipermudah
    Untuk memudahkan akses pelabur kepada pasaran pertukaran asing dalam negeri, proses transaksi dan dokumentasi pertukaran asing akan terus ditambah baik dan dipermudah. Sehubungan dengan ini, panduan dokumentasi yang standard bagi transaksi pertukaran asing akan diedarkan menerusi Persatuan Bank- Bank Dalam Malaysia (The Association of Banks in Malaysia, ABM).
     
  6. Mudah tunai ringgit di luar waktu dagangan rasmi tempatan
    Rangka kerja Pejabat Luar Negeri yang Dilantik (Appointed Overseas Offices, AOO) yang sedia ada sejak tahun 2016 berperanan meningkatkan akses kepada pasaran kewangan Malaysia menerusi penyediaan mudah tunai ringgit di luar waktu dagangan rasmi tempatan. Kini, terdapat 151 AOO daripada 21 kumpulan perbankan yang beroperasi di 36 buah negara. Bank akan terus memudahkan kapasiti dagangan pasaran AOO untuk memastikan akses kepada harga dalam ringgit adalah mencukupi.

 

Pautan berkaitan:

Bank Negara Malaysia
16 May 2019

© Bank Negara Malaysia, 2019. All rights reserved.