Print       Share


Pidato Piala Gabenor menyediakan platform untuk menggalakkan penggunaan Bahasa Kebangsaan dalam sektor kewangan

Ref No : 08/19/03 06 Aug 2019 Embargo : For immediate release    

Mohd Arfaizal Muhammad Arsat daripada Bank Muamalat Malaysia Berhad  muncul juara pada Pertandingan Pidato Piala Gabenor Bank Negara Malaysia 2019 (Pertandingan Pidato Piala Gabenor) dengan tajuk ‘Penggunaan Bahasa Kebangsaan dalam Industri Kewangan Masih Belum Meluas: Cabaran dan Kekangannya’. Sementara itu, Mohd Afifi bin Zahari daripada Zurich Life Insurance Malaysia Berhad dan Panglima Jagumba J Padasian daripada Citibank masing-masing mendapat tempat kedua dan ketiga. Sebanyak tiga belas pemidato telah berjaya masuk ke pusingan akhir pertandingan itu.

Pemenang Pertandingan Pidato Piala Gabenor 2019 menerima wang tunai masing-masing sebanyak RM5,000 (Juara), RM3,000 (naib juara) dan RM2,000 (tempat ketiga). Mereka juga menerima piala, medalion tembaga keluaran khas 1, sijil penyertaan dan buku-buku yang diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).

Pada tahun ini, 22 institusi kewangan termasuk enam institusi kewangan asing mengambil bahagian dalam pertandingan ini. Daripada 79 peserta yang mengambil bahagian, sembilan  daripadanya adalah peserta bukan bumiputera. Selain itu, penyertaan juga telah dibuka kepada kakitangan Persatuan Bank-Bank Malaysia dan Persatuan Institusi Perbankan dan Kewangan Islam Malaysia.

Tajuk-tajuk pidato yang dikenal pasti untuk pertandingan ini merupakan isu-isu semasa yang telah mempengaruhi sektor kewangan termasuk perang perdagangan antara Amerika Syarikat dengan PR China dan kesannya terhadap ekonomi serantau (Perang Dagang Amerika Syarikat-Republik Rakyat China: Kesannya Terhadap Ekonomi Serantau), Fintech dan kesannya kepada masyarakat (Kesan Fintech Terhadap Masyarakat) dan mengenai kelestarian alam sekitar (Alam Sekitar Lestari, Sejahtera Ekonomi). Para peserta dapat berkongsi pandangan mereka tentang isu-isu semasa ini dalam Bahasa Kebangsaan.

Pertandingan Pidato Piala Gabenor menggalakkan kakitangan sektor kewangan mengemukakan idea dan pandangan mereka mengenai tajuk-tajuk yang berkaitan secara langsung dengan pengguna kewangan. Sejak mula dianjurkan, Bank telah menarik penyertaan kira-kira 650 peserta daripada lebih 30 institusi kewangan.

Bank Negara Malaysia
6 Ogos 2019

 


Perihal Pertandingan Pidato antara Institusi Kewangan Piala Gabenor

Pertandingan Pidato antara Institusi Kewangan Piala Gabenor, yang pertama kali diadakan pada tahun 2009, merupakan anjuran bersama antara Bank Negara Malaysia dengan Dewan Bahasa dan Pustaka. Pertandingan ini bertujuan untuk menggalakkan dan memartabatkan penggunaan Bahasa Kebangsaan dalam sektor kewangan serta meningkatkan kefahaman orang ramai tentang dasar dan inisiatif Bank melalui tajuk-tajuk yang berkaitan dengan sektor kewangan.

 

1 Bank Negara Malaysia mengeluarkan medalion tembaga khas dengan logo baharu untuk Pertandingan Pidato Piala Gabenor. Medalion itu ditempa khusus oleh Kilang Wang Bank Negara Malaysia, dengan logo di depan dan corak "Songket" yang unik di belakang medalion

 



Datuk Abang Sallehuddin bin Abg Shokeran, Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka, Datuk Abdul Rasheed Ghaffour, Timbalan Gabenor Bank Negara Malaysia dan Encik Rosihan Zain Baharudin, Pengarah Jabatan Komunikasi Strategik Bank Negara Malaysia bersama-sama Juara, Naib Juara dan Pemenang Ketiga Pertandingan Pidato Piala Gabenor Bank Negara Malaysia 2019.

Bank Negara Malaysia
06 Aug 2019

© Bank Negara Malaysia, 2019. All rights reserved.