Print       Share


Liberalisasi Dasar Pentadbiran Pertukaran Asing

Ref No : 08/19/06 16 Aug 2019 Embargo : Not for publication or broadcast before 1200 hours on Friday 16 August 2019

Bank Negara Malaysia mengumumkan langkah-langkah liberalisasi selanjutnya dalam dasar pentadbiran pertukaran asing (foreign exchange administration,FEA). Liberalisasi ini bertujuan untuk memberikan fleksibiliti yang lebih besar dan meningkatkan tahap kecekapan sektor perniagaan dalam menguruskan risiko pertukaran asing dan menjalankan operasi harian mereka dengan lebih baik.

Fleksibiliti lindung nilai

  1. Pemastautin boleh melindung nilai obligasi akaun semasa mata wang asing sehingga tempoh asas (underlying tenure)
    Fleksibiliti diberikan kepada pemastautin untuk melanjutkan tempoh lindung nilai bagi obligasi mata wang asing akaun semasa sehingga tempoh asas obligasi tersebut. Fleksibiliti ini diberikan untuk menggalakkan pengurusan risiko yang baik serta meningkatkan kecekapan sektor perniagaan. Pemastautin juga boleh mendapatkan kelulusan daripada Bank Negara Malaysia untuk melindung nilai obligasi akaun kewangan mereka sehingga tempoh asas tersebut.
     
  2. Syarikat perbendaharaan pemastautin boleh melindung nilai bagi pihak syarikat-syarikat berkaitan
    Bagi meningkatkan kecekapan dalam operasi pengurusan risiko secara berpusat, syarikat perbendaharaan pemastautin di Malaysia bebas untuk melindung nilai bagi pihak syarikat-syarikat berkaitan mereka jika dilakukan melalui bank tempatan berlesen.
     
  3. Syarikat perbendaharaan bukan pemastautin yang telah berdaftar dengan Bank Negara Malaysia boleh melindung nilai bagi pihak syarikat-syarikat berkaitan
    Syarikat perbendaharaan bukan pemastautin di luar negara bebas untuk melindung nilai bagi pihak syarikat-syarikat berkaitan mereka  di Malaysia dan luar negara dengan bank tempatan berlesen atau Pejabat Luar Negara Yang Dilantik (Appointed Overseas Office, AOO) setelah berdaftar dengan Bank Negara Malaysia.
     
  4. Bukan pemastautin boleh melindung nilai berasaskan anggaran (anticipatory)
    Fleksibiliti diberikan kepada bukan pemastautin untuk melindung nilai berasaskan anggaran dengan AOO bagi penyelesaian perdagangan barangan dan perkhidmatan.

Pengecualian kemudahan kredit untuk perbelanjaan pelbagai (miscellaneous expenses) daripada  takrifan peminjaman ringgit domestik

  1. Semakan takrifan bagi peminjaman ringgit domestik
    Kemudahan kredit[1] yang digunakan oleh syarikat bagi tujuan perbelanjaan pelbagai seperti perbelanjaan runcit dan perbelanjaan perjalanan pekerja dikecualikan daripada peminjaman ringgit domestik di bawah dasar FEA yang terpakai bagi pelaburan di luar negara. Langkah ini bertujuan untuk memudahkan pengurusan perbelanjaan operasi oleh pemastautin tanpa memberikan kesan kepada aktiviti pelaburan mereka.

Langkah-langkah tersebut akan berkuat kuasa pada 30 Ogos 2019. Pada tarikh yang sama, butiran lanjut mengenai langkah-langkah liberalisasi yang dinyatakan di atas akan diberikan dalam Notis Tambahan No. 6 mengenai Peraturan Pentadbiran Pertukaran Asing yang akan dikeluarkan oleh Bank Negara Malaysia.


_______________________________

[1] Ditakrifkan sebagai Kad Kredit Korporat dan kemudahan pinjaman lain yang serupa.

Bank Negara Malaysia
16 Aug 2019

© Bank Negara Malaysia, 2019. All rights reserved.