Cetak       Kongsi


Pernyataan Dasar Monetari

No Ruj : 09/19/02 12 Sep 2019 Embargo : Tidak boleh disiarkan atau dicetak sebelum jam1500 pada hari Khamis 12 September 2019

Pada mesyuarat hari ini, Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) Bank Negara Malaysia membuat keputusan untuk mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (Overnight Policy Rate, OPR) pada 3.00 peratus.

Ekonomi dunia sedang berkembang pada kadar yang lebih sederhana berikutan pertumbuhan lebih perlahan dalam kebanyakan negara maju utama dan negara sedang pesat membangun. Ketegangan perdagangan yang meruncing baru-baru ini menunjukkan petanda bahawa perdagangan global akan menjadi semakin lemah pada masa hadapan, dengan tanda-tanda limpahan yang kian ketara kepada aktiviti ekonomi domestik di beberapa buah negara. Pelonggaran dasar monetari di beberapa negara ekonomi utama telah mengurangkan keadaan kewangan global yang ketat, namun ketidakpastian ekoran ketegangan perdagangan yang berlarutan serta perkembangan geopolitik boleh membawa kepada volatiliti pasaran kewangan yang keterlaluan.

Prestasi pertumbuhan ekonomi Malaysia yang lebih kukuh pada suku kedua 2019 adalah disokong oleh perbelanjaan swasta yang berdaya tahan dalam keadaan pengembangan meluas dalam sektor-sektor ekonomi utama. Pada masa hadapan, pemacu pertumbuhan domestik ini bersama-sama dengan pasaran guna tenaga dan pertumbuhan upah yang stabil, dijangka terus menyokong kegiatan ekonomi. Di sektor luaran, eksport Malaysia yang pelbagai akan dapat mengurangkan sebahagian daripada kesan kelembapan dalam permintaan global. Secara keseluruhan, unjuran pertumbuhan asas (baseline growth) bagi tahun 2019 kekal tidak berubah, iaitu dalam lingkungan 4.3% - 4.8%. Walau bagaimanapun, unjuran ini tertakluk pada risiko pertumbuhan yang lebih rendah selanjutnya berikutan ketegangan perdagangan yang semakin meningkat, ketidakpastian mengenai persekitaran global dan domestik, serta kelemahan berpanjangan dalam sektor berkaitan komoditi.

Purata inflasi keseluruhan sejak awal tahun hingga kini ialah 0.3%. Purata inflasi keseluruhan diunjurkan lebih tinggi pada bulan-bulan terakhir tahun ini dan menjelang tahun 2020. Walau bagaimanapun, inflasi keseluruhan dijangka kekal rendah. Hal ini mencerminkan luputnya impak daripada perubahan dasar cukai penggunaan, prospek harga minyak dunia yang secara relatif lemah, dan langkah-langkah dasar yang diwujudkan untuk membendung harga makanan. Walau bagaimanapun, trajektori inflasi keseluruhan akan bergantung pada perkembangan harga minyak sedunia dan harga komoditi. Inflasi asas dijangka kekal stabil kerana disokong oleh kegiatan ekonomi yang terus berkembang dan ketiadaan tekanan permintaan yang besar.

Pada kadar semasa OPR, pendirian dasar monetari kekal akomodatif dan menyokong kegiatan ekonomi. MPC akan terus menilai imbangan risiko terhadap prospek pertumbuhan dalam negeri dan inflasi untuk memastikan pendirian dasar monetari terus kondusif terhadap pertumbuhan yang berterusan dalam keadaan harga yang stabil.

Bank Negara Malaysia
12 Sep 2019

© Bank Negara Malaysia, 2019. All rights reserved.