Cetak       Kongsi


Bank Negara Malaysia Mengumumkan Tinjauan Kestabilan Kewangan - Separuh Pertama Tahun 2019

No Ruj : 09/19/03 18 Sep 2019 Embargo : Tidak boleh disiarkan atau dicetak sebelum jam1700 pada hari Rabu 18 September 2019

Kestabilan kewangan domestik tetap utuh pada separuh pertama tahun 2019, dalam keadaan persekitaran luar dan dalam negeri yang terus mencabar. Pada peringkat global, kelemahan kewangan kekal tinggi berikutan kebimbangan terhadap pertumbuhan global yang semakin perlahan dan ketegangan geopolitik yang tambah meruncing. Keadaan ini menyumbang kepada peningkatan volatiliti dalam harga aset kewangan dan komoditi. Ketegangan perdagangan yang berterusan juga menjejaskan permintaan luar negeri dan prospek pertumbuhan serantau. Perkembangan ini, ditambah pula dengan kebimbangan mengenai kajian semula kedudukan Sekuriti Kerajaan Malaysia dalam dua indeks tanda aras global, telah membawa kepada beberapa episod peningkatan volatiliti dalam pasaran kewangan domestik. Walau bagaimanapun, risiko terhadap kestabilan kewangan domestik sebahagian besarnya dapat dibendung dengan sokongan pertumbuhan ekonomi dalam negeri yang secara relatif masih berdaya tahan, keadaan pasaran yang teratur dan institusi kewangan yang kukuh.

Pasaran kewangan domestik kekal teratur meskipun menghadapi rintangan domestik dan luaran
Walaupun volatiliti dalam pasaran kewangan meningkat disebabkan oleh perkembangan global dan domestik, keadaan pasaran yang teratur terus terpelihara. Pelabur institusi domestik yang kukuh, termasuk institusi kewangan, terus menjadi sumber kestabilan penting kepada pasaran domestik semasa tempoh aliran keluar portfolio yang tinggi. Hal ini seterusnya telah menyokong keadaan pendanaan domestik yang stabil bagi sektor perniagaan dan isi rumah. Strategi pengurusan risiko dan perlindungan nilai secara aktif oleh bank-bank terus membendung dedahan risiko pasaran pada tahap yang terurus, dan kekal dalam had kerugian dalaman yang  berhemat. Hal ini sebahagiannya mencerminkan sikap lebih berhati-hati yang ditunjukkan oleh bank-bank dalam persekitaran ketidakpastian yang berlaku pada separuh pertama tahun 2019. Pada masa yang sama, penanggung insurans dan pengendali takaful juga terus mengurus pelaburan mereka secara aktif selaras dengan struktur liabiliti masing-masing.

Tahap hutang isi rumah secara keseluruhan terus meningkat
Tahap hutang isi rumah secara keseluruhan kekal tinggi pada 82.2% daripada KDNK, dengan pinjaman untuk pembelian harta kediaman kekal sebagai pemacu utama pertumbuhan hutang. Aset kewangan isi rumah agregat terus berkembang pada kadar yang lebih cepat daripada hutang, lantas mengekalkan penampan aset kewangan isi rumah pada 2.2 kali hutang. Walaupun kebanyakan isi rumah terus mampu membayar balik hutang mereka dengan selesa, masih terdapat segmen yang kekal berisiko. Kejadian mungkir yang lebih tinggi dilihat dalam kalangan peminjam pinjaman perumahan yang lebih terdedah kepada ketidaktentuan pendapatan. Walaupun bahagian hutang isi rumah yang dipegang oleh peminjam yang berpendapatan kurang daripada RM3,000 sebulan terus menurun sejak beberapa tahun ini, leveraj peminjam ini terus meningkat. Hal ini sebahagian besarnya disebabkan oleh akses kepada pinjaman perumahan yang lebih mudah di bawah pelbagai skim bantuan pinjaman yang diperkenalkan dalam tahun-tahun kebelakangan ini. Kumpulan peminjam ini masih terdedah kepada kesukaran kewangan memandangkan penampan kewangan mereka untuk menghadapi potensi kejutan adalah terhad. Walau bagaimanapun, risiko terhadap kestabilan kewangan, sebahagian besarnya masih dapat dibendung memandangkan dedahan bank kepada peminjam berisiko lebih tinggi adalah rendah kerana bank terus mengekalkan amalan pemberian pinjaman yang kukuh. Pelaksanaan Strategi Literasi Kewangan Kebangsaan 2019 - 2023 dan enakmen Akta Kredit Pengguna yang bakal diusulkan dijangka dapat terus menguatkan daya tahan isi rumah dan mengurangkan risiko masa depan.

Permintaan yang kukuh untuk perumahan mampu milik terus mampan
Harga rumah terus berkembang pada kadar yang lebih sederhana dalam keadaan permintaan yang mampan untuk harta kediaman mampu milik. Walau bagaimanapun, jumlah unit rumah tidak terjual semakin bertambah, terutamanya didorong oleh harta kediaman yang harganya melebihi harga rumah mampu milik maksimum di negeri masing-masing. Hal ini bertentangan dengan pemulihan ketara dalam urus niaga bagi unit rumah yang berharga kurang daripada RM500,000 yang dicatatkan pada suku pertama. Walaupun ketidakpadanan antara bekalan dengan permintaan perumahan mungkin mengambil masa untuk diselesaikan, permintaan yang kukuh untuk perumahan mampu milik dijangka dapat mengurangkan risiko penurunan yang mendadak dan meluas pada harga rumah.

Keadaan lebihan bekalan masih berterusan dalam pasaran harta tanah komersial
Dalam segmen bukan kediaman, bekalan baharu ruang pejabat dan kompleks beli-belah (office space and shopping complexes, OSSC) adalah jauh lebih tinggi daripada permintaan purata tahunan pada tahun-tahun kebelakangan ini.  Hal ini mungkin akan menambah lagi kadar kekosongan yang sedia tinggi bagi ruang pejabat dan ruang niaga utama, dan ruang niaga utama per kapita di bandar raya-bandar raya besar. Bank-bank terus berhati-hati dalam memberi pinjaman kepada segmen ini dan mempunyai dedahan yang rendah dan sebahagian besarnya masih terus berbayar. Berdasarkan analisis sensitiviti Bank, bank-bank mempunyai penampan modal yang mencukupi untuk menyerap kerugian yang besar di bawah senario tekanan yang buruk dalam pasaran harta tanah secara meluas yang mengambil kira potensi kesan limpahan kepada sektor ekonomi lain yang sangat bergantung pada prestasi sektor harta tanah.

Kualiti peminjaman perniagaan terus tinggi meskipun keadaan perniagaan lebih mencabar
Kedudukan kewangan syarikat korporat bukan kewangan (NFC) menjadi lemah sedikit pada separuh pertama tahun 2019 dalam keadaan perniagaan yang terus mencabar. Median leveraj NFC meningkat sedikit kepada 24.9%, apabila sebahagian daripada syarikat dalam sektor telekomunikasi, penerbangan dan utiliti terjejas sedikit berikutan pelarasan terhadap piawaian pelaporan kewangan baharu. Perolehan lebih rendah juga dilaporkan oleh syarikat dalam sektor perladangan, pengangkutan, serta bangunan dan bahan binaan. Namun demikian, median keupayaan syarikat untuk membayar balik hutang kekal kukuh pada 4.5 kali. Beberapa perkembangan positif telah diperhatikan dalam sektor minyak dan gas, pembinaan dan harta tanah walaupun menghadapi rintangan yang berterusan. Syarikat dalam sektor minyak dan gas terus mengurangkan hutang mereka, dengan peningkatan perolehan daripada kadar penggunaan aset yang lebih tinggi dalam segmen luar pesisir. Projek-projek infrastruktur utama yang operasinya disambung semula juga akan memberikan manfaat kepada syarikat dalam sektor pembinaan, di samping mendapat tempahan-tempahan kerja yang berterusan. Walaupun keseluruhan nisbah pinjaman terjejas sektor perniagaan meningkat sedikit pada separuh pertama tahun 2019, peningkatan ini disebabkan terutamanya oleh perkembangan dalam beberapa syarikat tertentu dan tidak berlaku secara meluas.

Sektor kewangan kekal berdaya tahan, disokong oleh penampan modal dan mudah tunai yang kukuh serta keuntungan yang mampan
Mudah tunai dalam sistem perbankan terus mencukupi untuk menyokong pengantaraan kewangan domestik, dengan Nisbah Perlindungan Mudah Tunai sistem perbankan semakin mengukuh sejak enam bulan yang lalu. Sebagai sebahagian daripada usaha untuk memastikan bank-bank mengekalkan profil pendanaan yang stabil, keperluan Nisbah Pendanaan Stabil Bersih akan berkuat kuasa pada 1 Julai 2020. Berdasarkan data yang dikumpulkan semasa tempoh kajian, kebanyakan bank berada pada kedudukan yang baik untuk memenuhi keperluan ini. Bank-bank serta penanggung insurans dan pengendali takaful juga mengekalkan paras permodalan yang kukuh, jauh melebihi tahap pengawalseliaan minimum dan lebih tinggi daripada paras modal sasaran dalaman. Hal ini selanjutnya disokong oleh penampan yang kukuh terhadap potensi kerugian sejajar dengan keperluan pengawalseliaan dan piawaian pelaporan kewangan yang lebih berpandangan ke hadapan. Dalam sektor insurans, pembaharuan pengawalseliaan juga menyokong penambahbaikan dalam ketegaran (persistency) polisi dan kadar premium, yang seterusnya akan mengekalkan prestasi dalam jangka panjang.

Ujian tekanan yang dijalankan oleh Bank mengesahkan daya tahan sistem kewangan Malaysia terhadap tekanan makroekonomi dan kewangan yang teruk dengan institusi kewangan dapat mengekalkan penampan modal yang melebihi had minimum pengawalseliaan walaupun di bawah simulasi kejutan yang buruk. Pada masa hadapan, Bank terus berwaspada terhadap perkembangan di dalam dan di luar negeri yang boleh menimbulkan risiko kepada kestabilan kewangan domestik, termasuk prospek pertumbuhan global yang makin lemah dalam keadaan volatiliti aliran modal yang meningkat, paras hutang isi rumah yang terus bertambah, keadaan pasaran harta tanah yang lemah serta gangguan operasi akibat peningkatan ancaman siber.

  1. Tinjauan Kestabilan Kewangan - Separuh Pertama Tahun 2019
  2. Penunjuk Kekukuhan Kewangan Utama
  3. Kumpulan Data Rajah untuk Tinjauan Kestabilan Kewangan

Bank Negara Malaysia
18 Sep 2019

© Bank Negara Malaysia, 2019. All rights reserved.