Cetak       Kongsi


Mesyuarat Pertama Jawatankuasa Bersama Mengenai Perubahan Iklim

No Ruj : 09/19/08 27 Sep 2019 Embargo : Untuk Siaran Segera    

Bank Negara Malaysia hari ini mengumumkan pembentukan Jawatankuasa Bersama Mengenai Perubahan Iklim (Joint Committee on Climate Change, JC3). Matlamat JC3 adalah untuk mewujudkan tindakan bersama bagi membina daya tahan sektor kewangan Malaysia terhadap perubahan keadaan iklim.

JC3 dipengerusikan bersama oleh Timbalan Gabenor Jessica Chew Cheng Lian daripada Bank Negara Malaysia dan Timbalan Ketua Eksekutif Datuk Zainal Izlan Zainal Abidin daripada Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SSM). Anggota JC3 terdiri daripada pegawai kanan Bursa Malaysia dan 19 peserta industri. JC3 akan berpandukan tiga mandat utama –

  1. membina keupayaan melalui perkongsian pengetahuan, kepakaran dan amalan terbaik dalam menilai dan menguruskan risiko berkaitan iklim;
  2. mengenal pasti isu, cabaran dan keutamaan yang dihadapi oleh sektor kewangan dalam menguruskan peralihan ke arah ekonomi rendah karbon; dan
  3. memudahkan kerjasama antara pihak berkepentingan dalam melaksanakan penyelesaian yang terselaras bagi menangani cabaran dan isu berbangkit.

Pada 27 September 2019, JC3 mengadakan mesyuarat pertamanya susulan kejayaan Regional Conference on Climate Change yang berlangsung dari 25 hingga 27 September 2019. JC3 mengakui bahawa tindakan segera perlu diambil bagi memastikan proses peralihan kepada ekonomi rendah karbon adalah teratur dan berjalan lancar. Hal ini termasuk menguruskan dedahan kepada risiko iklim dan memudahkan perniagaan beralih kepada amalan yang mampan. Bagi meneruskan agenda ini, mesyuarat bersetuju untuk membentuk empat jawatankuasa kecil yang memberikan tumpuan pada

  1. pengurusan risiko;
  2. tadbir urus dan penzahiran;
  3. produk dan inovasi; dan
  4. perbincangan dan interaksi serta pembangunan kapasiti.

Bank Negara Malaysia
27 Sep 2019

© Bank Negara Malaysia, 2019. All rights reserved.