Cetak       Kongsi


Mesyuarat Dua Hala Antara Bank Negara Malaysia dengan Bank Indonesia

No Ruj : 09/19/07 27 Sep 2019 Embargo : Untuk Siaran Segera    

Pada mesyuarat dua hala antara Bank Negara Malaysia (BNM) dengan Bank Indonesia (BI) yang diadakan di Kuala Lumpur hari ini, Gabenor Perry Warjiyo dan Gabenor Nor Shamsiah Yunus menandatangani perjanjian untuk mengukuhkan lagi kerjasama dua hala dari segi monetari dan kewangan antara bank pusat itu seperti yang berikut:

  • Perjanjian swap mata wang tempatan dua hala (LCBSA), yang membolehkan kedua-dua bank pusat mengakses mudah tunai mata wang asing antara satu sama lain jika diperlukan; dan
  • Memorandum Persefahaman (MoU) untuk menjalinkan kerjasama yang lebih erat dalam aspek inovasi pembayaran dan perkhidmatan kewangan digital, serta pengawasan terhadap pencegahan pengubahan wang haram dan pencegahan pembiayaan keganasan (Anti Money Laundering/Counter Financing of Terrorism, AML/CFT).

LCBSA ini membolehkan kedua-dua bank pusat membuat pertukaran mata wang tempatan sehingga RM8 bilion atau IDR28 trillion (Kira-kira USD2 bilion). Pengaturan ini akan melengkapkan usaha untuk menyokong penggunaan mata wang tempatan yang lebih meluas bagi memudahkan aktiviti ekonomi merentas sempadan antara Malaysia dengan Indonesia. Pengaturan ini berkuat kuasa selama tiga tahun dan tempoh ini boleh dilanjutkan dengan persetujuan kedua-dua belah pihak.

Bergerak selaras dengan peningkatan kemajuan teknologi dalam perkhidmatan kewangan yang saling bergantung antara satu sama lain, MoU ini mengesahkan komitmen kedua-dua bank pusat dalam menyokong pembangunan sistem pembayaran dan inovasi kewangan digital sebagai sebahagian daripada inisiatif untuk meningkatkan pembangunan dan integrasi kewangan antara kedua-dua negara. Pertemuan itu juga membincangkan perkembangan ekonomi dan kewangan mutakhir ini, termasuk dalam bidang kewangan Islam, pembiayaan sosial dan pembangunan pasaran kewangan.

Pada akhir mesyuarat, kedua-dua bank pusat menyatakan komitmen mereka dalam mengukuhkan kerjasama antara kedua-dua negara untuk meningkatkan lagi pembangunan sektor kewangan dalam mencapai kemajuan ekonomi yang mampan.

Gabenor Bank Negara Malaysia Nor Shamsiah Yunus dan Gabenor Bank Indonesia Perry Warjiyo menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) pada mesyuarat dua hala antara kedua-dua bank pusat yang diadakan di Kuala Lumpur.

Gabenor Bank Negara Malaysia Nor Shamsiah Yunus dan Gabenor Bank Indonesia Perry Warjiyo di majlis menandatangani Memorandum Persefahaman. 

Bank Negara Malaysia
27 Sep 2019

© Bank Negara Malaysia, 2019. All rights reserved.