Print       Share


Pertemuan dengan Komuniti PKS di Sandakan

Ref No : 10/19/02 10 Oct 2019 Embargo : For immediate release    

Bank Negara Malaysia (Bank) hari ini mengadakan sesi dialog dengan wakil-wakil utama daripada persatuan-persatuan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan dewan perniagaan di Sandakan, Sabah. Dialog yang dipengerusikan oleh Penolong Gabenor Adnan Zaylani Mohamad Zahid diadakan bersempena dengan Karnival Kewangan Sandakan yang akan berlangsung pada 12 dan 13 Oktober 2019 di Harbour Mall, Sandakan.

Sesi dialog itu menerima sambutan yang menggalakkan daripada PKS dan dewan perniagaan di Sandakan. Semasa dialog, komuniti perniagaan Sandakan berkongsi pandangan mereka mengenai cabaran perniagaan yang sedang mereka hadapi. Antara isu yang diketengahkan oleh PKS ialah kesukaran mendapatkan lesen perniagaan daripada pihak berkuasa tempatan, kekurangan keupayaan pengurusan kewangan dan perniagaan dalam kalangan PKS serta kurang kesedaran tentang program pembinaan keupayaan yang tersedia dan skim pembiayaan untuk PKS. Dalam menangani permintaan untuk pembinaan keupayaan, Persatuan Institusi Perbankan Islam Malaysia (AIBIM) dan beberapa institusi kewangan lain telah bersetuju untuk berkerjasama dengan persatuan-persatuan PKS untuk melatih dan meningkatkan kemahiran ahli-ahli mereka.

Beberapa peniaga tempatan juga meminta institusi kewangan supaya lebih fleksibel ketika berurusan dengan pelanggan PKS dalam suasana perniagaan yang mencabar sekarang ini. Sambil mengakui akan hal tersebut, Bank juga menerangkan langkah-langkah terbaharu yang memberikan kelonggaran sehingga membolehkan PKS menstruktur semula dan menjadualkan semula kemudahan yang ada.  PKS juga digalakkan untuk terus menggunakan secara aktif akaun semasa dalam urusan perniagaan yang boleh menyokong permohonan pembiayaan mereka. PKS boleh mendapat manfaat daripada Skim Pembiayaan Mikro dengan membuat permohonan pembiayaan tanpa cagaran sehingga RM50,000 daripada 10 institusi kewangan yang mengambil bahagian.

Penolong Gabenor Adnan Zaylani menekankan bahawa selain daripada bank, SME mempunyai pilihan untuk mendapatkan pembiayaan daripada institusi kewangan pembangunan, Credit Guarantee Corporation (CGC) dan sumber pinjaman alternatif seperti platform Pendanaan Rakan-ke-Rakan (Peer-to-Peer) dan pendanaan ekuiti daripada orang ramai menerusi Internet (Ekuiti Crowdfunding) yang dikawal selia oleh Suruhanjaya Sekuriti Malaysia.

PKS juga boleh mendapatkan khidmat nasihat kewangan, bantuan dan pembelaan pada peringkat awal kesulitan. PKS boleh mendapatkan maklumat mengenai dana Bank untuk PKS serta saluran khidmat nasihat dan pembelaan seperti Skim Penyelesaian Hutang Kecil (Small Debt Resolution Scheme, SDRS). Untuk maklumat lanjut, sila lawati laman sesawang BNM di www.bnm.gov.my.

Di samping itu, PKS boleh menggunakan Khidmat Nasihat Pembiayaan (MyKNP) yang merupakan inisiatif usaha sama antara BNM, CGC dan Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit, dengan mendapat sokongan daripada industri kewangan. MyKNP bertujuan memberikan panduan yang lebih baik kepada pemohon pembiayaan, termasuk meningkatkan kefahaman pemohon tentang faktor-faktor yang mempengaruhi permohonan pembiayaan mereka serta meningkatkan kelayakan mereka untuk mendapatkan pembiayaan pada masa hadapan. Pemohon yang tidak berjaya dalam mendapatkan pembiayaan PKS atau rumah boleh menghubungi MyKNP untuk mendapatkan khidmat nasihat (myknp.com.my).

BNM akan terus bekerjasama dengan kerajaan negeri Sabah dan industri kewangan untuk meningkatkan akses dan menyediakan pelbagai perkhidmatan kewangan kepada masyarakat setempat dan perniagaan tempatan. Melangkah ke hadapan, BNM akan mengadakan dialog yang serupa sebagai penghubung antara sektor kewangan dengan komuniti tempatan untuk memastikan ekosistem yang cekap dan berkesan bagi PKS.

Bank Negara Malaysia
10 Oct 2019

© Bank Negara Malaysia, 2019. All rights reserved.