Print       Share


Sesi Dialog dengan Komuniti PKS di Langkawi

Ref No : 10/19/02 18 Oct 2019 Embargo : For immediate release    

Dalam usaha untuk mempertingkatkan hubungan dengan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di Langkawi, Bank Negara Malaysia (BNM) hari ini mengadakan satu sesi dialog dengan institusi kewangan, pegawai-pegawai kerajaan negeri dan komuniti perniagaan tempatan.
 
Dialog ini bertujuan untuk mendapatkan kefahaman yang lebih mendalam dan maklum balas mengenai isu berkaitan pembiayaan yang dihadapi oleh sektor perniagaan di Pulau Langkawi serta tanggapan mereka mengenai akses kepada pembiayaan. BNM mengambil peluang semasa dialog ini untuk memberikan taklimat kepada PKS dan meningkatkan kesedaran mereka mengenai inisiatif-inisiatif Bank terkini untuk PKS. Dialog hari ini telah dipengerusikan oleh Penolong Gabenor Adnan Mohamad Zahid.
 
Sesi dialog ini mendapat respons yang menggalakkan daripada PKS dan komuniti perniagaan yang sama-sama berkongsi pandangan mereka mengenai cabaran-cabaran menjalankan perniagaan yang dihadapi kini. Wakil daripada 17 Persatuan PKS dan Dewan Perniagaan yang menghadiri sesi dialog ini telah memberikan banyak pandangan dan maklum balas untuk diambil perhatian.
 
Antara isu utama yang dibangkitkan oleh PKS termasuklah kurangnya  kesedaran dan kefahaman mereka mengenai skim-skim pembiayaan yang disediakan untuk PKS, terutamanya pembiayaan mikro, ketidakpastian mengenai prospek perniagaan (memandangkan pendapatan banyak bergantung pada kegiatan pelancongan yang bermusim), inisiatif untuk meningkatkan kelayakan peminjam berikutan kegagalan mereka mendapatkan pembiayaan dan isu berkaitan dengan penjadualan dan penstrukturan semula kemudahan kredit. Persatuan teksi turut memberikan maklum balas mengenai kos insurans yang tidak setara dengan risiko perniagaan di Langkawi. BNM mengambil maklum pandangan tersebut dan akan bekerjasama dengan pihak industri insurans untuk meneliti perkara ini.
 
BNM juga menghuraikan langkah-langkah yang baru diumumkan bertujuan untuk terus memperbaik ekosistem pembiayaan PKS, seperti Khidmat Nasihat Pembiayaan (MyKNP) dan Skim Penyelesaian Pinjaman Kecil (Small Debt Resolution Scheme, SDRS) yang skopnya diperluas baru-baru ini.
 
PKS yang memerlukan khidmat nasihat dan bantuan untuk meningkatkan kelayakan mereka bagi mendapatkan pembiayaan kini boleh menggunakan Khidmat Nasihat Pembiayaan(MyKNP) — usahasama Bank Negara Malaysia, Credit Guarantee Corporation Malaysia Berhad dan Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK). Matlamat MyKNP adalah untuk memberikan panduan yang lebih baik kepada pemohon pembiayaan, termasuk kefahaman yang lebih jelas mengenai faktor-faktor yang mempengaruhi permohonan pembiayaan mereka. Pemohon yang tidak berjaya untuk mendapatkan pembiayaan PKS atau perumahan boleh menghubungi MyKNP untuk mendapatkan bantuan (http://myknp.com.my).
 
Bagi membantu PKS yang menghadapi masalah membayar balik pinjaman, SDRS merupakan skim yang memberikan ruang kepada mereka untuk menumpukan pada rancangan pemulihan perniagaan mereka. PKS boleh menstrukturkan dan menjadualkan semula pinjaman mereka yang sedia ada dengan institusi kewangan ataupun mendapatkan bantuan penyelesaian melalui SDRS.
 
SDRS merupakan platform bagi institusi kewangan dan PKS untuk sama-sama mencari jalan penyelesaian hutang dengan sewajarnya tanpa perlu melibatkan sebarang tindakan undang-undang.
 
Kriteria kelayakan untuk mendapatkan SDRS telah diperluas baru-baru ini bagi merangkumi PKS yang tidak lagi beroperasi tetapi masih berkemampuan untuk membayar balik tanggungan hutang mereka dengan menggunakan sumber pendapatan yang lain. Langkah sebegini merupakan bantuan di luar mahkamah dan intervensi terhadap PKS. Untuk maklumat lanjut mengenai SDRS, PKS boleh menghubungi BNMTELELINK di talian 1-300-88-5465 (LINK).
 
PKS amat digalakkan untuk mempunyai akaun semasa perniagaan yang diuruskan dengan baik kerana akaun tersebut boleh memberikan sokongan kuat terhadap permohonan pembiayaan mereka kepada institusi kewangan. PKS juga boleh mendapat manfaat daripada Skim Pembiayaan Mikro yang membenarkan mereka memohon pembiayaan tanpa cagaran sehingga RM50,000 daripada 10 buah institusi kewangan peserta. Perusahaan kecil atau mikro perlu berdaftar atau mendaftarkan perniagaan mereka dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia untuk layak memohon skim-skim pembiayaan, termasuk Tabung BNM untuk PKS.
 
 

Bank Negara Malaysia
25 Oct 2019

© Bank Negara Malaysia, 2019. All rights reserved.