Cetak       Kongsi


Pelantikan Fraziali Ismail sebagai Penolong Gabenor dan Persaraan Penolong Gabenor Donald Joshua Jaganathan

No Ruj : 10/19/07 31 Oct 2019 Embargo : Untuk Siaran Segera    

Bank Negara Malaysia (Bank) ingin mengumumkan pelantikan Encik Fraziali Ismail ke jawatan Penolong Gabenor. Sebagai Penolong Gabenor, Encik Fraziali akan bertanggungjawab dalam bidang-bidang yang berkaitan dengan pemantauan kewangan, pengawalseliaan yang berhemat, pengguna dan amalan pasaran, pengawalan perniagaan perkhidmatan kewangan serta komunikasi.

Encik Fraziali memulakan kerjayanya di Bank pada tahun 1994. Sebelum pelantikan beliau sebagai Penolong Gabenor, Encik Fraziali pernah berkhidmat di Jabatan Ekonomi dan Jabatan Dasar Monetari. Beliau memegang ijazah Sarjana Ekonomi dari London School of Economics and Political Science, United Kingdom dan ijazah Sarjana Muda Ekonomi dan Perakaunan dari University of Bristol, United Kingdom.

Bank juga ingin mengumumkan persaraan Penolong Gabenor Encik Donald Joshua Jaganathan pada 4 November 2019. Beliau telah berkhidmat selama 36 tahun di Bank. Encik Donald dilantik sebagai Penolong Gabenor pada tahun 2011. Sebelum dilantik sebagai Penolong Gabenor, beliau pernah berkhidmat dalam beberapa bidang termasuk pengawalan dan penyeliaan bank dan insurans, pemantauan kewangan, pengurusan strategik dan kewangan Bank. Encik Donald juga memainkan peranan penting dalam memacu pelbagai inisiatif pembangunan modal insan dalam industri kewangan termasuk Asian Institute of Chatered Bankers (AICB) dan Asian Banking School (ASB). Bank ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Encik Donald atas segala sumbangan yang beliau berikan dan berharap supaya beliau akan terus cemerlang dalam apa jua bidang yang diceburinya.

Bank Negara Malaysia
31 Oct 2019

© Bank Negara Malaysia, 2019. All rights reserved.