Cetak       Kongsi


Pernyataan Dasar Monetari

No Ruj : 11/19/01 05 Nov 2019 Embargo : Tidak boleh disiarkan atau dicetak sebelum jam1500 pada hari Selasa 05 November 2019

Pada mesyuarat hari ini, Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) Bank Negara Malaysia membuat keputusan untuk mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (Overnight Policy Rate, OPR) pada 3.00 peratus.

Ekonomi global berkembang pada kadar yang lebih sederhana, dengan peningkatan perlahan yang lebih serentak merentas ekonomi maju dan ekonomi sedang pesat membangun. Terdapat juga penunjuk bahawa kelembapan perdagangan global yang lemah telah menjejaskan permintaan domestik, terutamanya kegiatan pelaburan. Pada masa hadapan, ketegangan geopolitik, ketidakpastian dasar dan pertikaian perdagangan yang berlarutan boleh menjejaskan lagi volatiliti pasaran kewangan dan seterusnya mempengaruhi prospek pertumbuhan global. Pelonggaran dasar monetari dan langkah-langkah dasar yang lain dijangka memberi sokongan kepada pertumbuhan.

Bagi Malaysia, penunjuk ekonomi terkini masih sejajar dengan jangkaan, menandakan kegiatan ekonomi berkembang dengan sederhana pada suku ketiga. Pada masa hadapan, pertumbuhan dijangka terus dipacu oleh perbelanjaan sektor swasta yang teguh. Meskipun pelaburan swasta dijangka terus sederhana, perbelanjaan isi rumah akan disokong oleh pertumbuhan pekerjaan dan upah yang berterusan. Langkah-langkah Kerajaan baru-baru ini akan menyediakan rangsangan tambahan kepada kegiatan ekonomi. Di sektor luaran, walaupun eksport terus terjejas akibat permintaan global yang lebih rendah, kesan ini dapat dikurangkan sebahagiannya oleh struktur eksport yang pelbagai. Secara keseluruhan, pertumbuhan ekonomi Malaysia pada tahun 2019 dijangka tetap berada dalam lingkungan anggaran dan kadar pertumbuhan dijangka berterusan menjelang tahun 2020. Unjuran ini masih tertakluk pada risiko pertumbuhan akan menjadi lebih rendah, berpunca terutamanya daripada ketidakpastian dalam keadaan ekonomi dan kewangan global serta kelemahan dalam sektor berkaitan dengan komoditi.

Purata inflasi keseluruhan pada tahun 2019 dijangka rendah. Pada tahun 2020, purata inflasi keseluruhan dijangka lebih tinggi tetapi tetap kekal pada kadar yang sederhana. Hal ini mencerminkan luputnya impak daripada perubahan dasar cukai penggunaan, pemansuhan harga siling bagi harga runcit bahan api domestik dalam keadaan prospek harga minyak dunia yang secara relatif lemah dan langkah-langkah dasar yang sedia ada untuk membendung harga makanan. Walau bagaimanapun, trajektori inflasi keseluruhan akan bergantung pada perkembangan harga minyak dan harga komoditi sedunia. Inflasi asas dijangka kekal stabil kerana disokong oleh kegiatan ekonomi yang terus berkembang dan ketiadaan tekanan permintaan yang besar.

Pada kadar semasa OPR, pendirian dasar monetari kekal akomodatif dan menyokong kegiatan ekonomi. MPC akan terus menilai imbangan risiko terhadap prospek pertumbuhan dalam negeri dan inflasi untuk memastikan pendirian dasar monetari terus kondusif terhadap pertumbuhan yang berterusan dalam keadaan harga yang stabil.

Mesyuarat ini juga meluluskan jadual mesyuarat MPC untuk tahun 2020. Selaras dengan Akta Bank Negara Malaysia 2009, mesyuarat MPC akan diadakan sebanyak enam kali setahun. Mesyuarat akan diadakan selama dua hari dan Pernyataan Dasar Monetari diumumkan pada jam 3.00 petang pada hari kedua mesyuarat MPC.
 

Jadual Mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari bagi tahun 2020
Bil Mesyuarat MPC Tarikh
Pertama 21 dan 22 Januari 2020 (Selasa dan Rabu)
Kedua 2 dan 3 Mac 2020 (Isnin dan Selasa)
Ketiga 4 dan 5 Mei 2020 (Isnin dan Selasa)
Keempat 6 dan 7 Julai 2020 (Isnin dan Selasa)
Kelima 9 dan 10 September 2020 (Rabu dan Khamis)
Keenam 2 dan 3 November 2020 (Isnin dan Selasa)

Bank Negara Malaysia
05 Nov 2019

© Bank Negara Malaysia, 2019. All rights reserved.