Bank Negara Malaysia pada hari ini mengumumkan bahawa Kadar Dasar Semalaman (OPR) dinaikkan sebanyak 30 mata asas kepada 3 peratus. Sehubungan dengan itu, kadar bumbung dan kadar lantai koridor bagi OPR masing-masing dinaikkan kepada 3.25 peratus dan 2.75 peratus.
Sejak Pernyataan Dasar Monetari pada bulan Ogos, penunjuk ekonomi sekarang ini menunjukkan bahawa ekonomi adalah lebih kukuh dan aktiviti ekonomi dijangka semakin pesat pada tahun hadapan. Prospek pertumbuhan ekonomi ini didorong oleh pengukuhan permintaan dalam negeri dan suasana luaran yang menyokong ekonomi negara.
Inflasi telah meningkat, terutamanya disebabkan oleh harga tenaga dan kos lain yang lebih tinggi. Pada masa hadapan, sungguhpun tekanan inflasi dijangka tidak akan meningkat, kadar inflasi dijangka akan kekal pada paras semasa untuk beberapa jangka waktu.
Berikutan daripada pelarasan kadar faedah ini, paras OPR terus berada di bawah paras neutralnya, justeru, teras dasar monetari kekal akomodatif dan menyokong pertumbuhan ekonomi. Bank Negara Malaysia akan memantau perkembangan dengan rapi bagi memastikan pertumbuhan ekonomi negara terus mapan dalam suasana harga yang stabil.
30 November 2005

