Ref No :
Embargo : Untuk Siaran Segera
Suruhanjaya Sekuriti dan Bank Negara Malaysia mengingatkan orang ramai agar berhati-hati terhadap skim pelaburan Internet - Menasihati orang ramai agar melabur dengan pihak yang berlesen sahaja
Sesetengah syarikat dan laman web yang menawarkan skim pelaburan Internet tidak dilesenkan oleh Bank Negara Malaysia untuk menerima deposit. Mereka juga tidak dilesenkan oleh Suruhanjaya Sekuriti untuk memberikan nasihat pelaburan yang berkaitan dengan aktiviti sekuriti atau niaga hadapan atau menjalankan aktiviti pengurusan dana di Malaysia. Aktiviti sedemikian biasanya menawarkan pulangan atau peluang pelaburan yang menarik.
Pelabur boleh mendapatkan pengesahan mengenai status pelesenan institusi kewangan yang terbabit dalam aktiviti pengambilan deposit yang dikawal selia oleh Bank Negara Malaysia atau individu dan syarikat yang terbabit dalam aktiviti pelaburan yang dikawal selia oleh Suruhanjaya Sekuriti masing-masing di laman web www.bnm.gov.my dan www.sc.com.my.
Orang ramai adalah diingatkan supaya mereka hendaklah hanya membuat deposit atau melabur dengan pihak yang dilesenkan oleh pihak berkuasa agar mereka boleh mendapat perlindungan di bawah undang-undang perbankan dan sekuriti. Pengendali tidak berlesen boleh menghilangkan diri mereka dan meninggalkan pelabur tanpa berupaya untuk mendapatkan semula wang pelaburan mereka atau membuat tuntutan terhadap mana-mana individu yang terbabit dengan skim tersebut.
Penting bagi orang ramai berwaspada dan bertanggungjawab dalam membuat keputusan pelaburan kerana Internet menawarkan akses mudah bagi mereka yang tidak bertanggungjawab memperdaya mangsa untuk menyerahkan wang mereka. Pelabur digesa untuk mendapatkan pengesahan mengenai kesahihan skim yang kononnya menawarkan pulangan atau peluang pelaburan yang lumayan yang membabitkan kadar pulangan yang melebihi pasaran, dan tanpa risiko atau berisiko rendah. Mereka perlu mendapatkan maklumat yang berkaitan sebelum membuat pelaburan melalui Internet.
Sekiranya tidak pasti, orang ramai hendaklah mengesahkan dengan Bank Negara Malaysia, Suruhanjaya Sekuriti atau pihak berkuasa berkaitan yang lain mengenai status pelesenan syarikat tempatan dan asing sebelum mendepositkan wang mereka atau membuat apa-apa keputusan pelaburan.
Orang ramai juga dinasihati agar memaklumkan pihak berkuasa serta-merta sekiranya mereka menjumpai mana-mana laman web, e-mel atau apa-apa maklumat yang mencurigakan di Internet yang berkaitan dengan nasihat dan khidmat pelaburan serta aktiviti pengambilan deposit. Mereka boleh menghubungi Suruhanjaya Sekuriti dan Bank Negara Malaysia di:
Jabatan Pengaduan/ Suruhanjaya Sekuriti
Tel: 03-6204 8999 / 03-6204 8777
Faks: 03-6204 8991
E-mel: aduan@seccom.com.my
Bank Negara Malaysia
Tel: 03-2691 0824 / 2692 6482 / 2698 2810 / 2694 2143
Faks: 03-2698 7467
E-mel: bnmtelelink@bnm.gov.my
Dikeluarkan bersama oleh
Bank Negara Malaysia dan Suruhanjaya Sekuriti
19 April 2007
Bank Negara Malaysia
19 April 2007
19 April 2007

