Ref No : 10/07/07
Embargo : Tidak boleh disiarkan atau dicetak sebelum jam18 00 pada hari Selasa 30 Oktober 2007
Pernyataan Dasar Monetari
Asas-asas ekonomi dalam negeri Malaysia terus teguh dengan pertumbuhan permintaan dalam negeri yang mapan. Walau bagaimanapun, risiko pertumbuhan dan perdagangan global akan terjejas telah meningkat sejak beberapa bulan kebelakangan ini ekoran kenaikan harga minyak dan ketidakpastian dalam pasaran kewangan global. Meskipun keadaan ini mewujudkan risiko terhadap prospek pertumbuhan ekonomi Malaysia, keteguhan asas-asas ekonomi dalam negeri akan mengurangkan risiko tersebut.
Inflasi dalam jangka sederhana dijangka dipengaruhi oleh harga global bagi makanan dan komoditi yang semakin meningkat. Walau bagaimanapun, di bawah paras dua peratus, kadar inflasi kini adalah antara yang paling rendah di rantau ini. Meskipun pelarasan harga mungkin berlaku, inflasi keseluruhan dijangka masih terbendung.
Memandangkan ekonomi yang berkembang di bawah tahap potensi, kemungkinan tekanan terhadap harga yang berpunca daripada permintaan juga berkurang. Tambahan lagi, sekiranya pertumbuhan global adalah lebih rendah daripada jangkaan sekarang, ia akan turut mengurangkan tekanan terhadap harga global.
Memandangkan ketidakpastian masa kini mengenai trend masa hadapan bagi faktor-faktor yang mempengaruhi inflasi dan pertumbuhan global, pendirian dasar monetari pada masa hadapan akan bergantung pada penilaian Bank Negara Malaysia terhadap data dan maklumat terbaharu dan implikasinya terhadap prospek jangka sederhana kestabilan harga dan pertumbuhan ekonomi.
Bank Negara Malaysia
30 Oktober 2007
30 Oktober 2007

