Berita & Pusat Media

 
>  Siaran Akhbar > Pernyataan Dasar Monetari
Ref No : 11/07/09
 
Embargo : Tidak boleh disiarkan atau dicetak sebelum jam18 00 pada hari Isnin 26 November 2007
 
Pernyataan Dasar Monetari
 

Pada mesyuarat hari ini, Jawatankuasa Dasar Monetari Bank Negara Malaysia memutuskan untuk mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada paras 3.50%.

Ekonomi Malaysia terus berkembang pada kadar yang mapan dan mengekalkan pertumbuhan guna tenaga yang menggalakkan pada suku ketiga. Trend ini dijangka berterusan pada suku keempat. Keteguhan permintaan dalam negeri dijangka dapat mengekalkan pertumbuhan sehingga ke tahun 2008. Walau bagaimanapun, ketidakpastian yang lebih tinggi dalam pasaran kredit dan keadaan permintaan yang lebih lemah di beberapa ekonomi negara perindustrian yang besar telah meningkatkan risiko pertumbuhan ekonomi global yang lebih perlahan dan potensi implikasinya terhadap ekonomi negara.

Inflasi di Malaysia telah meningkat sedikit namun parasnya masih rendah. Tekanan harga yang dialami oleh ekonomi global dijangka berterusan dalam jangka sederhana, ekoran kenaikan harga makanan, bahan api dan komoditi. Perkembangan ini mungkin meningkatkan risiko terhadap prospek inflasi. Walau bagaimanapun, beberapa faktor yang mengurangkan tekanan inflasi termasuk peningkatan kapasiti, akan menyederhanakan kesan terhadap inflasi domestik pada tahun 2008.

Jawatankuasa Dasar Monetari berpendapat risiko terhadap inflasi dan pertumbuhan ekonomi adalah agak seimbang. Pendirian dasar monetari pada masa hadapan akan bergantung pada maklumat terbaharu dan penilaian Jawatankuasa Dasar Monetari mengenai perubahan kepada imbangan risiko terhadap prospek jangka sederhana bagi inflasi dan pertumbuhan ekonomi.

Mesyuarat juga meluluskan jadual mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari bagi tahun 2008. Pernyataan Dasar Monetari akan terus disiarkan pada pukul 6.00 petang pada hari berlangsungnya mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari.

Jadual Mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari bagi Tahun 2008

No.

Tarikh

1

29 Januari 2008 (Selasa)

2

25 Februari 2008 (Isnin)

3

29 April 2008 (Selasa)

4

26 Mei 2008 (Isnin)

5

25 Julai 2008 (Jumaat)

6

25 Ogos 2008 (Isnin)

7

24 Oktober 2008 (Jumaat)

8

24 November 2008 (Isnin)

 
Bank Negara Malaysia
26 November 2007
 
 
Bookmark and Share
Last Updated Date : 26 November 2007
 

Sentiasa Berhubung

FacebookFacebook
Berinteraksi dengan kami.
TwitterTwitter
Ikuti perkembangan terkini.
 
Paparan terbaik 1024 x 768 dengan Internet Explorer 7.0 dan Mozilla Firefox 3+
Total of Unique Visitor Since 1st January 2010 :
Last Updated Date : 21 January 2013