Pada mesyuarat hari ini, Jawatankuasa Dasar Monetari Bank Negara Malaysia memutuskan untuk mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada paras 3.50 peratus.
Ekonomi Malaysia menunjukkan prestasi yang menggalakkan pada tahun 2007 dan terus mengekalkan momentum yang mapan. Walau bagaimanapun, perkembangan dalam pasaran kewangan global telah meningkatkan tahap ketidakpastian mengenai pertumbuhan global. Penunjuk ekonomi di negara perindustrian utama semakin menunjukkan peningkatan risiko pertumbuhan global akan menjadi perlahan. Kesan perkembangan luaran ini terhadap ekonomi Malaysia akan bergantung pada keutuhan relatif ekonomi dalam negeri dan sejauh mana penyederhanaan dalam sektor perdagangan.
Sementara itu, tekanan harga global semakin meningkat, berpunca terutamanya daripada harga global yang tinggi bagi tenaga, makanan dan komoditi. Oleh itu, inflasi di Malaysia turut mencatat trend menaik sejak separuh kedua tahun 2007. Dalam jangka terdekat, risiko terhadap inflasi cenderung ke arah yang lebih tinggi. Walau bagaimanapun, pertumbuhan ekonomi global yang lebih perlahan berkemungkinan menyederhanakan harga global dan dengan itu mengurangkan tekanan kos yang dialami ekonomi dalam negeri.
Interaksi antara risiko pertumbuhan ekonomi menjadi perlahan dengan risiko peningkatan harga dalam negeri akan dipantau secara rapi dan langkah awalan akan diambil sekiranya perlu. Pendirian dasar monetari pada masa hadapan akan bergantung pada maklumat terbaharu dan penilaian Bank Negara Malaysia mengenai implikasinya terhadap prospek jangka sederhana kestabilan harga dan pertumbuhan ekonomi.
29 Januari 2008

