Berita & Pusat Media

 
>  Siaran Akhbar > Pernyataan Dasar Monetari
Ref No : 02/08/05
 
Embargo : Tidak boleh disiarkan atau dicetak sebelum jam18 00 pada hari Isnin 25 Februari 2008
 
Pernyataan Dasar Monetari
 
Pada mesyuarat hari ini, Jawatankuasa Dasar Monetari Bank Negara Malaysia memutuskan untuk mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada paras 3.50 peratus.

Penunjuk terkini menunjukkan permintaan dalam negeri yang kukuh akan terus menyokong ekonomi negara bagi mencapai prestasi yang baik untuk beberapa bulan yang akan datang. Permintaan peniaga dan pengguna terhadap pembiayaan terus kukuh, mencerminkan pelaburan yang memberangsangkan ekoran peningkatan kapasiti pengeluaran oleh syarikat dan pertumbuhan penggunaan yang mapan yang turut disokong oleh persekitaran guna tenaga yang stabil dan pendapatan yang meningkat. Risiko yang dihadapi oleh ekonomi Malaysia berpunca terutamanya daripada sektor luar negeri. Peningkatan risiko pertumbuhan ekonomi global yang lebih perlahan telah disokong oleh data terbaharu yang dikeluarkan oleh negara perindustrian utama.

Harga komoditi dan makanan terus meningkat dan menyumbang kepada peningkatan inflasi global. Oleh itu, perkembangan ini dijangka memberi kesan terhadap inflasi di Malaysia pada separuh pertama tahun 2008. Walau bagaimanapun, pertumbuhan ekonomi global yang akan menjadi perlahan dijangka dapat meredakan sebahagian daripada tekanan inflasi.

Secara keseluruhannya, masih terdapat tahap ketidakpastian yang tinggi mengenai persekitaran makroekonomi sepanjang tempoh dasar. Penilaian terkini mengenai imbangan risiko terhadap prospek pertumbuhan ekonomi dan inflasi tidak mendorong sebarang perubahan kepada pendirian dasar monetari pada masa ini, yang terus menyokong pertumbuhan ekonomi.
 
Bank Negara Malaysia
25 Februari 2008
 
 
Bookmark and Share
Last Updated Date : 25 February 2008
 

Sentiasa Berhubung

FacebookFacebook
Berinteraksi dengan kami.
TwitterTwitter
Ikuti perkembangan terkini.
 
Paparan terbaik 1024 x 768 dengan Internet Explorer 7.0 dan Mozilla Firefox 3+
Total of Unique Visitor Since 1st January 2010 :
Last Updated Date : 21 January 2013