Berita & Pusat Media

 
>  Siaran Akhbar > Pernyataan Dasar Monetari
Ref No : 04/08/09
 
Embargo : Tidak boleh disiarkan atau dicetak sebelum jam17 00 pada hari Selasa 29 April 2008
 
Pernyataan Dasar Monetari
 
Pada mesyuarat hari ini, Jawatankuasa Dasar Monetari Bank Negara Malaysia memutuskan untuk mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada paras 3.50 peratus.

Data terkini daripada ekonomi negara perindustrian utama menunjukkan penyederhanaan aktiviti ekonomi di negara-negara tersebut. Keadaan ini dijangka menyebabkan pertumbuhan ekonomi global menjadi lebih perlahan pada bulan-bulan yang akan datang. Sungguhpun permintaan luaran yang lebih perlahan akan memberi kesan terhadap ekonomi Malaysia, pertumbuhan akan terus disokong oleh peningkatan permintaan dalam negeri. Import barangan modal, kelulusan pelaburan sektor perkilangan dan aliran masuk pelaburan langsung asing yang kukuh menunjukkan aktiviti pelaburan adalah mapan. Walaupun masih terdapat kegawatan kewangan global, keadaan kredit dalam negeri kekal menggalakkan dengan permintaan terhadap pembiayaan terus disokong oleh mudah tunai sistem kewangan yang lebih daripada mencukupi.

Harga tenaga dan makanan global telah meningkat dengan ketara sejak awal tahun daripada paras yang sudah sedia tinggi. Ketidakpastian yang nyata pada masa ini ialah sejauh mana aktiviti ekonomi global akan menjadi sederhana dan kesannya dalam mengurangkan tekanan kenaikan harga global. Harga makanan dalam negeri telah meningkat kesan daripada kenaikan harga global. Kenaikan harga makanan mencerminkan fenomena struktur yang memerlukan langkah-langkah memastikan bekalan ádalah mencukupi, mewujudkan struktur insentif yang sesuai bagi menggalakkan pengeluaran makanan yang lebih tinggi, serta meningkatkan kecekapan pengeluaran dan rangkaian pengedaran. Pelarasan harga perlu dibuat secara beransur-ansur bagi memastikan peralihan yang lancar kepada harga pasaran. Ramalan inflasi pada purata 2.5-3% bagi tahun 2008 oleh Bank Negara Malaysia telah mengambil kira beberapa pelarasan harga ditadbir. Peningkatan risiko terhadap ramalan ini akan bergantung pada sejauh mana kenaikan harga global akan memberi kesan terhadap harga dalam negeri dan sebanyak mana harga ditadbir akan dilaraskan.

Ketidakpastian yang menyelubungi keadaan ekonomi dan kewangan global telah bertambah. Selepas mengambil kira petunjuk mengenai risiko pertumbuhan ekonomi yang lebih rendah dan risiko inflasi yang lebih tinggi, Bank Negara Malaysia memutuskan untuk mengekalkan pendirian dasar monetari.
 
Bank Negara Malaysia
29 April 2008
 
 
Bookmark and Share
Last Updated Date : 29 April 2008
 

Sentiasa Berhubung

FacebookFacebook
Berinteraksi dengan kami.
TwitterTwitter
Ikuti perkembangan terkini.
 
Paparan terbaik 1024 x 768 dengan Internet Explorer 7.0 dan Mozilla Firefox 3+
Total of Unique Visitor Since 1st January 2010 :
Last Updated Date : 21 January 2013