Merujuk kepada laporan dalam media tempatan baru-baru ini berkenaan pengeluaran tanpa kebenaran daripada akaun bank individu, sejumlah 165 aduan telah diterima oleh Bank Negara Malaysia pada tahun 2008. Berdasarkan kepada siasatan, semua kes ini disebabkan oleh pelanggan, secara sengaja atau tidak sengaja, mendedahkan maklumat peribadi mereka seperti nombor pengenalan peribadi (personal identification number, PIN) dan kata laluan kepada pihak ketiga atau pihak yang menipu.
Dalam kebanyakan kes, mangsa pengeluaran tanpa kebenaran daripada akaun perbankan ini telah mendapat khidmat pesanan ringkas (SMS) yang tidak dikenal pasti daripada pihak yang menipu yang memaklumkan bahawa mereka telah memenangi hadiah wang tunai. Untuk menuntut hadiah wang tunai yang dijanjikan ini, mangsa disuruh membuka akaun perbankan Internet. Mangsa kemudian menghubungi pihak yang menipu yang memberikan panduan terperinci kepada mangsa tentang cara mendaftar dan mengaktifkan akaun perbankan Internet di terminal ATM. Ketika mendaftar di terminal ATM, mangsa akan diberikan PIN. Kemudian, pihak yang menipu akan meminta mangsa memberikan PIN kepadanya dan akan menggunakan PIN ini untuk menyediakan akaun perbankan Internet untuk mangsa. Mangsa kemudiannya akan diminta mendaftarkan nombor telefon pihak yang menipu bagi mendapatkan Kod Sah Kuasa bagi membolehkan pindahan dana dibuat melalui perbankan Internet. Akibatnya, Kod tersebut dihantar melalui SMS terus kepada telefon bimbit pihak yang menipu. Tanpa disedari mangsa kini telah memberikan akses akaun perbankan mereka sepenuhnya kepada pihak yang menipu.
Bank Negara Malaysia ingin menegaskan bahawa infrastruktur ATM dan urus niaga perbankan Internet adalah selamat, dengan kawalan keselamatan yang menyeluruh dan sistem amaran penipuan dilaksanakan di semua institusi perbankan untuk mengesan urus niaga yang mencurigakan. Ini telah diperteguhkan lagi dengan usaha industri perbankan memberi peringatan kepada pelanggan mereka mengenai penipuan seperti ini dengan memaparkan notis dan peringatan di laman web dan terminal ATM mereka. Bank Negara Malaysia sedang bekerjasama dengan industri perbankan, Polis Diraja Malaysia dan badan kerajaan yang berkenaan bagi memastikan keberkesanan sistem-sistem ini dalam menghalang aktiviti penipuan.
Orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa berwaspada dan tidak memberi maklum balas kepada mana-mana SMS atau e-mel yang meminta maklumat peribadi seperti PIN dan kata laluan akaun perbankan mereka. Orang ramai diingatkan bahawa bank tidak akan sekali-kali meminta maklumat peribadi melalui e-mel, SMS atau panggilan telefon.
Untuk maklumat lanjut, pertanyaan atau aduan, orang ramai boleh menghubungi BNMTELELINK di 1-300-88-5465 atau e-mel kepada bnmtelelink@bnm.gov.my.
05 Januari 2009

