Ref No : 05/09/08
Embargo : Tidak boleh disiarkan atau dicetak sebelum jam18 00 pada hari Selasa 26 Mei 2009
Pernyataan Dasar Monetari
Kemerosotan ekonomi dunia pada suku pertama tahun ini adalah lebih buruk daripada jangkaan akibat kemelut kewangan global yang berlarutan. Walaupun beberapa segmen pasaran kewangan antarabangsa telah menjadi lebih stabil, dan kemajuan berterusan dalam penyelesaian sektor kewangan telah dicapai, kesan limpahan akibat kemelut kewangan global telah menyebabkan penguncupan aktiviti ekonomi yang ketara dalam ekonomi maju. Kesan sepenuhnya daripada perkembangan global ini kini dirasai oleh ekonomi serantau pada separuh pertama tahun ini.
Ekonomi dalam negeri terus terjejas oleh penguncupan yang ketara dalam permintaan luar, yang menyebabkan kemerosotan eksport dan pengeluaran perindustrian. Akibatnya, ekonomi Malaysia telah menguncup dengan nyata pada suku pertama tahun 2009. Keadaan ini berterusan hingga ke suku kedua. Namun, kadar penurunan yang lebih sederhana bagi penunjuk aktiviti ekonomi global terkini menunjukkan bahawa terdapat potensi pemulihan secara beransur-ansur pada separuh tahun kedua. Persekitaran luaran yang semakin stabil, yang disokong oleh pelaksanaan langkah-langkah fiskal yang lebih pesat, kadar inflasi yang lebih sederhana dan akses kepada pembiayaan yang berterusan, akan mencerahkan prospek ekonomi Malaysia kembali mencatat pertumbuhan.
Penilaian semasa menunjukkan bahawa inisiatif dasar monetari terkumpul dan langkah-langkah untuk meningkatkan akses kepada pembiayaan adalah mencukupi untuk menyokong permintaan dalam negeri. Dengan adanya mudah tunai yang besar dan mencukupi dalam sistem, penekanan akan terus diberikan pada usaha memastikan aliran kredit yang mencukupi kepada semua segmen ekonomi.
Bank Negara Malaysia
26 Mei 2009
26 Mei 2009

