Bank Negara Malaysia telah memulakan siasatan terhadap Genneva Sdn Bhd dan Etika Emas Estet Sdn Bhd kerana disyaki menjalankan aktiviti pengambilan deposit secara haram yang melanggar
Seksyen 25(1) Akta Bank dan Institusi-Institusi Kewangan 1989 (BAFIA) dan Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pembanterasan Pembiayaan Keganasan 2001 (AMLATFA). Seksyen 25(1) BAFIA 1989 melarang mana-mana individu untuk memperoleh, mengambil atau menerima deposit tanpa lesen yang sah, sementara Seksyen 4(1) AMLATFA 2001 menghalang mana-mana individu daripada terlibat dalam, atau cuba untuk melibatkan diri dalam, atau bersubahat dengan aktiviti pengubahan wang haram.
Serbuan terhadap Genneva Sdn Bhd dan Etika Emas Estet Sdn Bhd telah dibuat hari ini di premis-premis syarikat di sekitar Lembah Klang berikutan maklumat yang diterima daripada orang ramai.
Aset dan dokumen syarikat yang berkaitan telah dirampas untuk tujuan penyiasatan.
Orang ramai diingatkan supaya berhati-hati dengan skim pengambilan deposit dan skim pelaburan yang ditawarkan melalui pelbagai saluran seperti Internet, panggilan telefon, atau seminar anjuran individu atau syarikat yang tidak diberikan lesen atau diluluskan oleh pihak berkuasa yang berkenaan.
Orang ramai boleh merujuk kepada senarai institusi berlesen yang dibenarkan untuk mengambil deposit di laman sesawang Bank Negara Malaysia ( www.bnm.gov.my ) .
Untuk sebarang pertanyaan lanjut, orang ramai boleh menghubungi Bank Negara Malaysia di pusat perhubungan berikut:
BNMTELELINK (Pusat Perhubungan Pelanggan)
Tel: 1 -300-88-5465
Faks: 03-21741515
E-mel: bnmtelelink@bnm.gov.my
BNMLINK (Pusat Perkhidmatan Pelanggan)
Blok D, Bank Negara Malaysia,
Jalan Dato' Onn,
50480, Kuala Lumpur
(Waktu urusan: Isnin - Jumaat, 9.00 pagi - 5.00 petang)
21 Julai 2009

